Arkib Negara Lupa P. Ramlee...

Posted Isnin, Mei 28, 2007 by Lelaki Herba in Labels:

Video...




Download video player dahulu...

Download




Download Video ini...

Download



Ulasan:

Selain karya pernah dihasilkan, Pustaka Peringatan dan Rumah Kelahiran Allahyarham Tan Sri P Ramlee menjadi antara warisan peninggalan berharga dan boleh dijadikan rujukan buat generasi muda.



Pustaka Peringatan P Ramlee di Jalan Dedap, Setapak, Kuala Lumpur adalah kediaman terakhir Allahyarham. Ia diambil alih kerajaan untuk dijadikan muzium mini bagi menyimpan segala khazanah berharga diperoleh seniman agung itu menerusi karya seni yang pernah dihasilkan.

Sementara Rumah Kelahiran P Ramlee di Jalan P Ramlee, Pulau Pinang menampilkan sejarah kehidupan beliau sebelum bergelar anak seni. Kedua-dua bangunan bersejarah ini berada di bawah pentadbiran Arkib Negara Malaysia.

Arkib Negara Malaysia selaku agensi di bawah Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa) turut memainkan peranan penting mengumpul segala maklumat penting mengenai P Ramlee sama ada membabitkan kerjaya mahupun peribadi.

Biasanya ia diperoleh menerusi seminar dan perbincangan dianjurkan setiap tahun. Dalam waktu sama tidak dilupakan majlis tahlil bagi memperingati seniman agung itu.

Bagaimanapun, kebelakangan ini Arkib Negara Malaysia dilihat tidak lagi aktif dalam menganjurkan majlis ilmu yang mampu mengingatkan umum mengenai tarikh pemergian beliau yang jatuh hari esok.

Seminar dan acara perbincangan diadakan sebelum ini dianggap penting kerana ia mampu memberikan rujukan generasi akan datang. Sebelum ini badan kerajaan itu turut aktif melaksanakan bulan memperingati P Ramlee sepanjang Mei.

Tidak kurang ada pihak mempertikaikan apabila pelaksanaan bulan P Ramlee tidak lagi diadakan, Pustaka Peringatan dan Rumah Kelahiran P Ramlee juga kurang peranannya kerana seniman agung itu tidak lagi diingati.

Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, Mohamed Zawawi Abdullah sewaktu ditemui bagaimanapun menyangkal dakwaan berkenaan dengan menjelaskan bermula Januari hingga April ini, Pustaka Peringatan P Ramlee menerima hampir 11,970 pelawat tempatan dan 518 pelancong luar sementara Rumah Kelahiran pula dilawati hampir 23,000 orang.

“Melihat statistik dua tahun lalu jumlah pelawat diterima Pustaka Peringatan P Ramlee masih ramai iaitu 70,394 orang pada 2006 dan 82,620 pada tahun 2005.

“Arkib Negara Malaysia bagaimanapun masih terus merancang beberapa usaha agar Pustaka Peringatan dan Rumah Kelahiran P Ramlee terus menjadi tumpuan. Ia akan dimulakan dengan kerja pengubahsuaian terhadap Pustaka Peringatan P Ramlee agar susun atur dan hiasan dalamannya lebih moden dan kontemporari.

“Idea ini datang daripada Menteri KeKKWa sendiri, Datuk Seri Dr Rais Yatim dan ia dirasakan perlu bagi melahirkan rasa minat masyarakat terutama golongan muda dalam menghargai karya dan sejarah hidup seniman agung itu.

“Lebih penting, kami turut membangunkan pusat rujukan dalam bangunan itu bagi memudahkan mereka yang mahu melakukan kajian atau mendapatkan pengetahuan lebih mendalam mengenai karya dihasilkan P.Ramlee. Dalam erti kata lain kami cuba menjadikan ia sebagai pusat sehenti.

“Pengubahsuaian dijangka mengambil masa tiga bulan dan satu majlis pelancarannya akan diadakan kemudian. Kami turut merancang mengadakan promosi mengenainya dalam skala besar sepanjang tahun,” jelasnya.

Arkib Negara Malaysia menganggap usaha berterusan penting kerana mahu generasi sekarang terus menjadikan P.Ramlee sebagai ikon dalam industri hiburan tempatan dan tidak artis luar.

Mohamed Zawawi turut menjelaskan pihaknya mempunyai alasan mengapa tidak lagi mewujudkan bulan memperingati P Ramlee sepanjang bulan Mei.

“Saya tidak mahu ingatan terhadap seniman agung itu hanya berlaku dalam musim-musim tertentu sebaliknya lebih baik sekiranya beberapa perkara dianggap bagus dan boleh mengingatkan kita terhadap P Ramlee dilakukan sepanjang tahun.

“Perlu saya tegaskan di sini usaha untuk mengangkat seniman agung dan karyanya bukan hanya terletak di tangan Arkib Negara Malaysia sebaliknya jabatan lain di bawah KeKKWa turut menyumbang.

“Mengambil contoh Istana Budaya sendiri menjadi pelopor apabila tahun ini menganjurkan persembahan Istana Cinta menampilkan lagu terbaik pernah dicipta Allahyarham Tan Sri Dr P Ramlee, didendangkan isterinya Allahyarham Puan Sri Saloma dan dipersembahkan semula Datuk Siti Nurhaliza.

“Saya juga dikhabarkan mengenai pementasan My Name Is Remy yang diangkat dari sejarah hidup P Ramlee yang sedang dirangka Enfiniti Production, bakal dipentaskan Oktober ini bersempena sambutan 50 tahun kemerdekaan negara.

“Arkib Negara Malaysia sendiri akan meneruskan beberapa perancangan yang pernah dilakukan sebelum ini dan lebih istimewa ia akan dilakukan di tanah kelahiran seniman agung itu di Pulau Pinang.

“Perancangan akan dimulakan dengan majlis ilmu iaitu menganjurkan forum Bicara Seni Seniman Agung P Ramlee - “Seniman Sepanjang Zaman’ dan ia diikuti dengan majlis Tahlil Perdana yang diadakan Disember nanti.

“Ia diadakan bersempena 50 tahun meraikan kemerdekaan negara dan ulang tahun penubuhan Arkib Negara. Lebih daripada itu majlis ini turut dikhaskan untuk pejuang yang pernah berjasa kepada negara termasuklah Allahyarham Tan Sri Dr P Ramlee (pejuang seni dan budaya),” ujarnya.

Mohamed Zawawi turut menjelaskan pihaknya tidak mungkin memindahkan Rumah Kelahiran P Ramlee dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur kerana tidak mahu merosakkan keaslian yang ada, walaupun pada pandangan pihak lain ia memudahkan apabila penempatan khas berkaitan seniman agung itu diwujudkan.



Taufik SM: Pada 29.05.2007 nanti , genaplah sudah pemergian Allahyarham P. Ramlee...


0 comment(s) to... “Arkib Negara Lupa P. Ramlee...”

0 comments: