P.Ramlee pergi tanpa sahabat sejati...

Posted Selasa, Mei 29, 2007 by Lelaki Herba in Labels:

Video P.Ramlee...





Sekalipun namanya gah sebagai Seniman Agung, hakikatnya ramai yang tidak tahu ketika hayatnya dulu Allahyarham Tan Sri P Ramlee sunyi tanpa mempunyai ramai sahabat sejati.


Seperti ditegaskan adik angkatnya, Ramli Ismail atau lebih dikenali dengan panggilan Ramli Kecik, ketika saat Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya pada pagi Selasa, 29 Mei 1973, hanya anaknya Sazali dan isterinya, Saloma (Puan Sri Saloma) berada di sisinya.

“Selain ahli keluarganya itu, hanya saya (Ramli), Pengarah filem Allahyarham Salleh Ghani dan usahawan terkenal, Datuk HM Shah berada bersama Allahyarham. Itupun hanya sehari sebelum beliau meninggalkan industri seni tanah air.

“Justeru, jika ada pihak tertentu mengaku sahabat baiknya dan sentiasa di sisi Allahyarham pada saat akhir hayatnya dulu, semuanya tidak benar belaka.

“Banyak juga yang mengaku anak murid Allahyarham sedangkan P Ramlee tidak ada anak murid kerana dia tidak mengajar orang. Kalaulah Allahyarham ada anak murid, sayalah yang paling pandai sekali,” katanya ketika berkunjung ke pejabat Harian Matro, baru-baru ini.

Ramli yang juga bapa pelakon Rusdi Ramli berkata, hubungannya dengan P Ramlee bukan sekadar adik angkat dan teman serumah, malah sudah lebih daripada adik beradik.

“Semuanya bermula ketika saya bekerja di majalah Gelanggang Filem yang juga penerbitan P Ramlee pada 1961 di Singapura. Saya bekerja melipat majalah dan pembantu jurugambar kepada Zainal Salleh.

“Apabila Allahyarham membuat drama pentas Kacip Emas, saya juga dipelawa berlakon dalam pementasan itu. Sehinggalah pada awal 1962, apabila saya membantu mencuci kereta Allahyarham dan Saloma, beliau terus mempelawa saya tinggal bersamanya di No 28, Cedar Avenue, Singapura.
“Saya juga mengikut mereka berpindah ke Kuala Lumpur dan bekerja dengan Merdeka Studio pada 1964. Saya hanya berpindah ke rumah sendiri apabila berkahwin dengan Norlia Ramli.
“Tapi hubungan kami tidak terputus kerana setiap pagi saya akan ke rumahnya untuk menguruskan bayaran bil air, elektrik dan ambil duit di bank hinggalah dia meninggal dunia,” katanya.

Lebih bermakna kata Ramli, P Ramlee juga memberikannya sepenuh kepercayaan untuk menguruskan segala urusan berkaitan pakaian atau kostum yang dipakainya setiap hari termasuk untuk penggambaran filemnya.

“Selain tempat tinggal percuma, makan minum saya juga ditanggung olehnya. Saya juga menjaga urusan pakaiannya termasuk urusan dengan tukang jahit.

“Allahyarham tidak cerewet dan senang berurusan dengannya. Sepanjang mengenalinya, beliau juga pemurah dan mudah memaafkan orang. Saya masih ingat lagi apabila Norlia melahirkan Rusdi, saya tidak ada wang untuk membeli lampin dan susu. Allahyarham dengan bermurah hati memberikan saya separuh dari wangnya berjumlah RM400 yang saya keluarkan dari bank pada hari itu.

“Kalau dia marah pada orang, dia tidak simpan lama-lama. Apabila orang itu datang dan cepat-cepat meminta maaf padanya, dia dengan mudah saja memaafkannya.

“Cuma di lokasi penggambaran, dia garang kerana pelakon perlu penuhi seperti apa yang dikehendakinya dan jangan cakap tidak boleh kerana dia tidak suka.

“P Ramlee juga seorang yang tidak mengejar nama. Sebagai contoh, apabila dia tulis senikata lagu, selalunya dia akan minta orang lain sambung sedangkan dia sudah buat separuh. Tapi akhirnya dia tidak tulis namanya sebagai penulis lirik.

“Dalam filem Semerah Padi, nama Allahyarham Seniman Nordin Ahmad diletakkan di atas sekali diikuti nama Seniwati Saadiah manakala namanya di bawah sekali. Begitu juga dalam filem Bujang Lapuk,” katanya.

Selain itu, kata Ramli, Allahyarham cukup suka minum kopi sejuk dan dia menyediakan kopi itu sehari sebelumnya dan disimpan dalam peti sejuk.

“Apabila dia buat lagu, pasti dia nak minum kopi sejuk yang saya buat itu. Saya jugalah yang menemaninya semalaman. Saya juga berlakon dalam filem beliau sebagai pelakon tambahan seperti Nasib Labu Labi, Tiga Abdul, Madu Tiga, Si Tora Harimau Jadian dan Siri Damak (Ragam P Ramlee).

“Antara watak saya yang orang ingat ialah menjadi pemuzik kepada Allahyarham Mahmud June dalam filem Masam-Masam Manis dan watak Abu yang membawa Mahmud June dengan basikal ke pesta muda mudi dalam filem Nasib Do Re Mi. Dalam filem Laksamana Do Re Mi, saya pegang watak Perdana Menteri,” katanya.

Ramli juga berkata, sebenarnya susah nak cari makan sebagai pelakon di Singapura kerana kelab pelakon tambahan saja ada 500 ahli dan mereka menerima bayaran RM3.50 sehari.

“Ketua pelakon tambahan akan potong 30 sen daripada bayaran yang diterima. Kalau pelakon tambahan pakai kot, bayaranya mahal sedikit RM7 sehari,” ujarnya.



0 comment(s) to... “P.Ramlee pergi tanpa sahabat sejati...”

0 comments: