Ulasan Tentang konsert Akhir (Final) Akademi Fantasia 5

Posted Isnin, Mei 21, 2007 by Lelaki Herba in Labels:

Sejarah nampaknya sudah tercipta apabila buat kali pertama pelajar wanita, Norsyarmilla Jirin, 19 atau Mila muncul juara Akademi Fantasia musim kelima (AF5) apabila menerima undian 32 peratus daripada penonton setia rancangan itu yang dibuat menerusi sistem pesanan ringkas (SMS), talian tetap dan butang merah.


Kemenangan diraih Mila malam kelmarin sekali gus berjaya menafikan penguasaan peserta lelaki yang menjuarai rancangan realiti TV pencarian bakat itu sejak ia diterbitkan Astro Ria sejak tahun 2003.Kemenangannya turut dijangka lebih awal peminat berdasarkan persembahan konsisten dilakukan Mila setiap minggu. Personaliti cukup menyenangkan ditunjukkan pelajar berasal dari Bayan Lepas, Pulau Pinang itu menerusi Diari AF5 dikatakan turut membantunya meraih undi.

Sewaktu ditemui pada majlis sidang akhbar, secara jujur Mila menjelaskan dia tidak menyangka diumumkan pemenang memandangkan kedudukannya yang berada di tangga paling bawah di minggu pertama persaingan, sebaik rancangan itu dimulakan awal Mac lalu.“Saya seharusnya berterima kasih kepada Zana kerana menarik diri di saat akhir pada minggu pertama sewaktu pertandingan bermula. “Hendak diikutkan sudah lama saya tersingkir. Bagaimanapun selepas Zana membuat keputusan menarik diri atas alasan peribadi, pihak produksi membuat pengumuman tiada penyingkiran dibuat pada minggu itu,” ujarnya yang kelihatan tenang dan 'cool' walaupun pada waktu sama menjelaskan masih terkejut dan kaget dengan kemenangan itu.

Bercerita lanjut kata Mila, dia tidak pernah menaruh harapan tinggi untuk bergelar juara memandangkan sepanjang program berlangsung, dia seorang pelajar yang lambat menerima segala teguran tenaga pengajar sehingga peningkatan diri dari sudut vokal dan rentak persembahan diperoleh agak perlahan.“Berjaya ke peringkat akhir sudah cukup bagi saya dan pada malam ini (kelmarin), apa yang saya fikirkan adalah memberikan persembahan terbaik supaya peminat dan penyokong yang banyak mengundi saya sebelum ini tidak kecewa,” ujarnya.Tangisannya akibat dimarahi guru vokal Syaafizawaty Sharif pada minggu akhir sebelum konsert berlangsung turut memberikan rahmat dan kekuatan buat Mila untuk memberikan persembahan terbaik. Ternyata nyanyian dan kemantapan vokal yang ditunjukkannya berjaya memukau hampir 7,000 peminat setia AF5 yang memenuhi lokasi konsert akhir di Stadium Putra Bukit Jalil sehingga menerima sorakan padu mereka.Pengkritik tetap dan jemputan terdiri daripada penyanyi Fauziah Latiff, Hattan, pelakon juga pengarah, Fauziah Datuk Ahmad (Ogy) dan pengarah filem, Mamat Khalid turut memuji kedua-dua persembahan Mila dan memberikan lampu biru sebagai tanda nyanyiannya cukup memberangsangkan.

Pada malam itu, Mila mendendangkan lagu Cinta Pura-Pura dendangan asal Ezlynn dan lagu baru ciptaan Ajai dan lirik ditulis Loloq, Persis Mutiara. Selaku juara, Mila menerima hadiah kondominium di A’Famosa, Melaka, kereta model Toyota Vios, Percutian Ke Gold Coast dan wang tunai/sijil simpanan premium berjumlah RM30,000. Sementara itu, pemenang kedua, Ebi Kornelis @ Firdaus Yimal, 23, atau Ebi, yang sebelum ini menjadi pilihan ramai peminat setia AF5 untuk bergelar juara dan sering berada di tangga pertama carta undian gagal mempertahankan kedudukannya.“Secara terus terang sebelum menyertai AF5, saya tidak mempunyai mutu vokal yang baik dan langsung tidak pandai menari. Segalanya saya belajar dalam Akademi. Tempoh belajar selama tiga bulan juga rasanya tidak mencukupi.“Saya akui banyak kelemahan dan kesilapan yang dilakukan menyebabkan persembahan saya tidak konsisten. Pada minggu awal pertandingan berlangsung, saya berjaya melakukannya tetapi masuk konsert ketujuh saya hilang punca. Pun begitu, sebenarnya apa yang saya persembahkan malam ini adalah yang terbaik,” ujarnya.

Selepas selesai mendendangkan lagu baru, Sinar Cinta ciptaan M Nasir dan lirik oleh Loloq dan lagu nyanyian asal kumpulan Jinbara, Farhana (Puteri Bumi Kenyalang), Ebi hanya memperoleh 26 peratus undi. Selaku naib juara, dia menerima hadiah Toyota Vios, pakej percutian ke Hong Kong Disneyland, wang tunai/sijil simpanan premium berjumlah RM17,000.

Pemenang tempat ketiga, Muhammad Nur Aswad Jafar, 27, (Aswad) yang dikaitkan dengan pelbagai kontroversi termasuklah isu memperoleh undi kasihan kerana statusnya sebagai anak yatim piatu, sewaktu ditemui menafikan kemenangannya disebabkan dakwaan itu.“Selain berbakat, mungkin peminat menyenangi karakter saya yang kelihatan tenang dan penyabar,” ujarnya yang juga berasal dari Bayan Lepas, Pulau Pinang.Pada majlis sidang akhbar itu, Aswad turut menjawab beberapa dakwaan seperti dikatakan sudah berkahwin dan mempunyai anak.“Saya belum berkahwin dan sudah tentu tidak mempunyai anak. Bagaimanapun, dua kanak-kanak yang sering dibawa kakak dan abang ipar saya pada konsert mingguan itu seperti dikatakan orang adalah anak saudara saya,” ujarnya.

Aswad turut menjelaskan perasaannya apabila pihak penerbit AF5 mengadakan gimik menjemput ibu bapa peserta AF5 pada minggu ketujuh ke pentas, sedangkan tiada wakil ahli keluarganya dipelawa.Tanpa berselindung Aswad berkata, waktu itu perasaannya bercampur baur dan terpinggir. Bagaimanapun kerana ibu bapanya sudah lama meninggal dunia, dia tidak begitu menghiraukan situasi yang berlaku di atas pentas waktu itu. Malam kelmarin Aswad mendendangkan lagu baru, Bila Mati Cinta Terhenti ciptaan Razman Riza dan lirik ditulis Mukhlis Nor juga sebuah lagu dipopularkan Awie, Mata Hati Jiwa. Dia menerima 21 peratus undi sekali gus membawa pulang hadiah pakej percutian ke Hong Kong Disneyland dan wang tunai/sijil simpanan premium bernilai RM10,000. Turut layak mengadakan persembahan pada konsert akhir AF5, Nur Heliza Helmi, 21, atau Heliza yang menduduki tangga keempat dengan jumlah undi 11 peratus dan tempat kelima, Candra Clement, 18, atau Candy yang mendapat 9 peratus undian.

Taufik SM: Tak sia-sia AFUNDI Mila sebab dia sudah menjadi juara AF5. Tergelak juga dengan jawapan & teguran daripada Mamat Khalid (Pengarah Filem) kelmarin...



0 comment(s) to... “Ulasan Tentang konsert Akhir (Final) Akademi Fantasia 5”