Ulasan Tentang konsert minggu ke-9 Akademi Fantasia 5

Posted Isnin, Mei 14, 2007 by Lelaki Herba in Labels:
Ulasan:


Nampaknya hanya tinggal satu tangga lagi untuknya melangkah ke Konsert Akhir Akademi Fantasia 5 sebelum bergelar juara tetapi apakan daya , perjuangan Mohd Shawal Ruslan (Shawal) berakhir di Konsert AF5 minggu kesembilan, Sabtu lalu...



Walaupun rata-rata peserta sudah menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan dan persembahan mereka dipuji juri/pengkritik, ia bukan senjata untuk menidakkan kuasa juri penonton untuk menyingkirkan peserta terakhir bagi konsert mingguan AF5. Sewaktu pengacara tetapnya, Aznil Nawawi mengumumkan peserta yang tersingkir, ramai yang terkejut kerana penyingkiran saat ini diibaratkan sebagai 'malang sekali' pada saat genting. Mencipta keunikan dan kejutan pada konsert kali ini, persembahan peserta dimulai dengan sisipan klip video menampilkan gandingan Raja Lawak Astro, Yus dan Raja SMS, Mawi sebagai pembakar semangat kepada peserta.Tidak cukup dengan itu, pengkritik minggu lalu, Loloq sekali lagi diundang menggantikan pengkritik tetap, Hattan yang sibuk. Apa yang menarik, persembahan kali ini diserikan dengan kehadiran Datuk Siti Nurhaliza sebagai pengkritik jemputan bergandingan dengan dua lagi pengkritik tetap, Fauziah Latif dan Fauziah Datuk Ahmad Daud (Ogy).Selain persembahan solo, konsert AF kali ini turut mencipta kelainan apabila menampilkan persembahan duet daripada 6 orang peserta.


Memulakan persembahan, duet Candy dengan Shawal melalui lagu Menari Denganku yang dipopularkan Zahid dan Sarah Raisuddin. Sementara Heliza dan Aswad menyampaikan lagu Joget Cinta Sakti (Haziq dan Rosma) tetapi yang paling mendapat perhatian ialah paduan suara Mila dan Ebi yang berjaya mengundang tepukan gemuruh penonton sewaktu menyanyikan lagu My Heart yang dipopularkan Irwansyah dan Acha Septriasa. Untuk persembahan solo, Shawal yang menyampaikan lagu Copacobana (Barry Manilow) hanya mendapat dua lampu biru daripada Loloq dan Datuk Siti Nurhaliza manakala Fauziah Latif dan Ogy tidak memberikan lampu biru sebagai tanda berpuas hati. Barangkali Shawal yang menjadi peserta tunggal menyanyikan lagu Inggeris ketika peserta lain menyanyikan lagu Melayu menjadi beban buatnya menampilkan persembahan dengan baik. Fauziah Latif memuji Shawal kerana memiliki vokal yang mantap tetapi dia gagal membuat persembahan dengan baik dan tidak bermain dengan karakter atau watak yang dikehendaki seperti tidak menari dengan bagus.


Ogy pula berkata, setiap lagu yang dipersembahkan bukan sekadar melodinya saja tetapi juga dari sudut penceritaan dan di sinilah kelemahan peserta berasal dari ibu kota ini.Menyaksikan persembahan malam itu, pujian harus diberi kepada Mila dan Heliza yang berjaya mendapat empat lampu biru daripada pengkritik. Mila menyampaikan lagu Pudar (Rossa) dan Heliza dengan lagu Ya Atau Tidak (Erra Fazira).Tidak terkecuali Ebi sewaktu menyampaikan lagu Bukan Diriku (Samsons). Walaupun persembahannya nampak ringkas dengan duduk di kerusi, Ebi berjaya memukau pandangan ramai dan mendapat pujian pengkritik.


Aswad pula yang dikecualikan daripada menari dan mengikuti persembahan berkumpulan kerana menghadapi masalah kesihatan, berjaya menampilkan persembahan terbaik sehingga mendapat tiga lampu biru. Biarpun kurang sihat, Aswad dapat menyampaikan lagu Mungkin Langitmu Lebih Biru (Mawi) dengan baik sekali sehingga mendapat sorakan penonton.Candy pula yang hadir dengan lagu Cahaya Cinta hanya meraih dua lampu biru.


Mungkin kehadiran penyanyi asalnya, membuatkan Candy sedikit tertekan apatah lagi dia nampak penat kerana bertungkus-lumus memberikan tenaga untuk lagu duetnya dengan Shawal sebelum itu.Sementara itu Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagull berkata, Aswad terpaksa dikecualikan daripada persembahan kali ini kerana menghadapi kekejangan otot. “Kita mengecualikan Aswad atas sebab tidak mahu memudaratkan kesihatannya. Walaupun tidak menari bersama, tetapi dia masih mampu memberikan persembahan terbaik dan dia tidak menarik diri.“Untuk konsert akhir nanti, kita mengharapkan kesihatannya akan pulih dan dia dapat membuat persembahan penuh seperti peserta lain. Masih terlalu awal untuk saya memberi apa-apa komen mengenai persembahan akhir nanti, tunggu saja perkembangannya nanti,” ujarnya.


Taufik SM: Nantikan Konsert Akademi Fantasia 5 pada minggu hadapan...



0 comment(s) to... “Ulasan Tentang konsert minggu ke-9 Akademi Fantasia 5”