Era FM kekal stesen radio nombor satu negara!!!

Posted Rabu, Jun 06, 2007 by Lelaki Herba in Labels:



Nampaknya stesen Radio Era masih mengekalkan statusnya sebagai stesen radio nombor satu di Malaysia dengan mencatatkan 5.31 juta pendengar pada setiap minggu.

Radio Era menguasai kira-kira 33.9 peratus daripada jumlah pendengar radio di negara ini.

Stesen radio kedua paling popular ialah stesen baru Hot FM dengan 3.99 juta pendengar, stesen THR di tempat ketiga dengan 2.5 juta orang manakala Sinar FM (2.1 juta) berada di kedudukan keempat.

Ranking itu dibuat berdasarkan catatan harian berasingan selama 15 minit ke atas 3,000 responden hasil kaji selidik terbaru Pengukuran Pendengar Radio (RAM) oleh Nielsen Company (Malaysia) Sdn. Bhd. yang dijalankan dari 26 Mac hingga 8 April lalu.

Radio Era, Sinar FM dan THR dimiliki oleh Astro manakala Hot FM ialah stesen radio terbaru yang dikuasai oleh kumpulan Media Prima.

Menurut kenyataan Nielsen Company yang dikeluarkan di sini hari ini, saluran radio terunggul Radio Televisyen Malaysia (RTM) ialah Muzik FM yang berada di tempat ketujuh keseluruhan dengan 1.2 juta pendengar (7.9 peratus) diikuti Klasik Nasional di tempat kelapan dengan 1.2 juta pendengar (7.4 peratus), meningkat 708,000 pendengar daripada statistik sebelum ini.

Sementara itu, Pengurus Rancangan Era, Rostam Said bersyukur dan berterima kasih kepada para pendengar yang memilih saluran itu sebagai stesen radio nombor satu negara.

“Walaupun pelbagai perubahan dilakukan termasuk pertukaran para penyampai Era, pendengar masih setia bersama kami,’’ ujarnya.

Beliau berkata, Era akan memperbaiki kelemahan dan pada masa yang sama meningkatkan kualiti penyampaian termasuk mengadakan beberapa program baru untuk memenuhi selera pendengar pada masa depan.

[Adapted From Another Source]


0 comment(s) to... “Era FM kekal stesen radio nombor satu negara!!!”

0 comments: