Ulasan Tentang Filem Transformers

Posted Ahad, Jun 24, 2007 by Lelaki Herba in Labels:

Transformers Video...



Download Video

Download Video Player




Transformers

Ulasan:

Sebaik sahaja melangkah masuk ke bilik Namdaemun di Grand Hyatt, Seoul, pengarah yang cukup disegani, Michael Bay terus menyuarakan rasa gembiranya. Beliau nyata terharu dengan berita Transformers dibenarkan tayangannya di China. Michael berkata, bukan mudah sebenarnya untuk sesebuah filem Barat menembusi pasaran di negara pemerintahan komunis itu tetapi Transformers berjaya membolosinya.

Sesudah mengambil tempat duduk, Michael meneruskan lagi perbualannya.

"Ya, memang benar sebelum ini saya pernah menolak pelawaan untuk mengarahkan filemini (Transformers). Pada sangkaan saya, ia sekadar filem berdasarkan kartun robotik yang bodoh. Ketika itu saya merasa diri ini masih baru, kurang keyakinan atas keupayaan diri yang sebenar.

Bagaimanapun enggan melepaskan peluang keemasan bekerja dengan produser eksekutif filem ini, Steven Spielberg. Lihat saja Raiders of The Lost Ark. Asalnya ia dianggap gagal, tetap akhirnya mencapai box-office," katanya.

Bagi pengarah filem The Rock, Bad Boys dan Armageddon itu, pengalaman bekerjasama dengan pengeluar produk permainan Hasbro dan pengeluar kenderaan General Motors memang bermakna. Michael merasa beruntung kerana dua syarikat gergasi itu banyak membantu bukan saja dari segi memberi garis panduan aspek teknikal malah menjimatkan bajet pembikinan filem terbabit.

"Saya tidak pernah percaya bahawa dengan bajet besar kita boleh buat sebuah filem yang hebat. Itu tidak benar. Bagi saya pihak yang melaburkan lebih AS$300 juta semata-mata untuk mendapatkan kesan khas paling sempurna adalah satu pembaziran," katanya.

Pun begitu, Michael tidak menafikan Hasbro dan General Motors pernah membuatkan dia pening kepala. Dia akui melalui saat rumit terutama apabila kebanyakan peminat sukar menerima perubahan dan pembangunan yang mereka lakukan ke atas karakter robot dalam filem terbabit.

Contohnya, ketua robot jahat, Megatron yang dulunya bertukar menjadi senjata kini menjadi sebuah jet. Begitu juga Bumblebee, pengikut setia Optimus Prime yang berasal dari Volkswagon Beetle tetapi kini bertukar kepada Camaro Klasik.

"Saya menerima pelbagai maklum balas dari peminat fanatik dan penggemar kartun Transformers. Kutukan malah ugutan bunuh disampaikan menerusi Internet semua gara-gara filem ini. Ada yang kata melampau, teruk dan dituduh merosakkan kenangan zaman kanak-kanak mereka.

"Jadi apa yang cuba kami sampaikan kepada peminat, perkara paling penting adalah untuk menghormati dan mengekalkan semangat serta mitos Transformers itu sendiri walau apapun bentuk mereka kerana secara tidak langsung ia bukan saja akan diterima peminat sedia ada malah peminat yang baru mengenali karakter Transformers.

"Sebenarnya saya tidak peduli dengan keluaran barangan permainan Transformers walaupun saya diberitahu kini ia adalah yang kedua selepas barangan mainan koleksi Star Wars.

Saya sendiri bukan peminat fanatik Transformers tetapi saya himpunkan segala kekuatan dan usaha bersama tenaga kerja untuk memastikan musim panas ini meninggalkan kenangan berbeza," katanya yang berbangga dengan barisan pendukung utama filemnya seperti Shia LaBeouf, Megan Fox dan Jon Voight.

Mengenai kebarangkalian adanya sekuel kepada Transformers, Michael berkata: "Saya masih belum pasti namun perbincangan ke arah itu memang ada. Apapun keputusannya nanti, kita lihat dulu sambutan terhadap filem pertama ini."


INFO: Transformers

# PENGARAH: Michael Bay
# EDARAN: United International Pictures (UIP)
# PELAKON: Shia LaBeouf, Tyrese Gibson, Josh Duhamel, Anthony Anderson, Megan Fox, Rachael Taylor, John Torturro, Jon Voight
# GENRE: Fiksyen sains, aksi
# TAYANGAN UMUM: Mulai 4 Julai 2007
#Laman Web: www.transformersmovie.com

[Adapted From Another Source]




0 comment(s) to... “Ulasan Tentang Filem Transformers”

0 comments: