Ulasan Tentang Filem Harry Potter and the Order of the Phoenix

Posted Selasa, Julai 17, 2007 by Lelaki Herba in Labels:

Harry Potter Order of the Phoenix



Memang di luar jangkaan J.K. Rowling apabila novelnya Harry Potter and The Sorcerer’s Stone (1997) menjadi fenomena luar biasa sebuah penerbitan novel remaja.

Meledak di pasaran dan mempunyai tarikan sakti luar biasa di kalangan pembacanya telah menjadi sejarah dalam dunia penerbitan buku. Sehingga sirinya yang keenam, Harry Potter and the Half Blood Prince, novel ini telah mempunyai jutaan peminatnya yang setia.

Novel Harry Potter yang ketujuh dan terakhir dalam sirinya iaitu Harry Potter and the Deadly Hallows akan berada di pasaran tidak lama lagi.

Filem Harry Potter and the Order of the Phoenix adalah filem kelima dalam siri filem Harry Potter. Filem keenam, Harry Potter and the Half Blood Prince dijangka akan disiapkan pada tahun 2008. Kejayaan novel Harry Potter dan bagaimana ia meletakkan penulisnya J.K. Rowling sebagai salah seorang wanita terkaya di Britain telah menjadi sejarah tersendiri.

Empat filem dalam siri francais ini juga telah membawa pulangan tidak kurang daripada RM12 billion. Antara penerbitan buku dan penghasilan filem, peminat Harry Potter telah mendapat dua bentuk kepuasan yang berbeza tetapi saling melengkapi. Novel memungkinkan pengembaraan visual dari segi imaginasi mental dan filem dengan kuasa magik kecanggihan kesan khas Imej Janaan Komputer memungkin apa sahaja yang diimaginasikan penulis dalam novelnya.

Apabila filem pertama dalam siri filem Harry Potter dihasilkan, pengarahnya Chris Columbus (yang sebelum itu terkenal dengan filem Home Alone) penulis lakon layarnya Steve Kloves cuba untuk membuat adaptasi yang cukup setia dengan novel asalnya.

Bagaimanapun usaha untuk berlaku sesetia mungkin telah membawa kepada pelbagai kritikan hingga membawa kepada persoalan tentang sifat adaptasi itu sendiri.

Memang membuat adaptasi mempunyai pendekatan dan kesukaran serta muslihatnya yang tersendiri, tetapi mengadaptasi sebuah karya yang mempunyai jutaan peminat setia lebih menyukarkan.

Magik yang dicipta oleh novel Harry Potter tidak semudah itu untuk dibawa ke filem. Namun adaptasi tersebut tetap berjaya pada beberapa peringkat. Ia masih berjaya mengangkat emosi kemanusiaan dalam memberi erti persahabatan, kesetiaan, kekeluargaan dan kuasa. Dan aspek yang paling penting daripada novel ini adalah kuasa magiknya.

Kuasa magik inilah yang cuba dikekal dan diperhebatkan oleh filem-filem Harry Potter. Sungguh pun aspek spektakular visual yang terhasil daripada kuasa magik, tetapi perkembangan dramatik Harry Potter bergantung kepada struktur naratifnya yang berkembang secara berperingkat dari awal kemasukan Harry Potter di Hogwats, hubungannya dengan teman-teman, soal keluarga dan dendam musuh-musuhnya.

Dalam filem Harry Potter and the Order of the Phoenix, Harry Potter (Daniel Radcliffe) dan dua teman rapatnya Ron (Rupert Grint) dan Hermione (Emma Watson) telah memasuki zaman remaja. Sekolah magik Hogwats masih ditadbir oleh Profesor Dumbledore (Michael Gambon), tetapi permainan politik menguasai sekolah ini dengan campur tangan Menteri Hal Ehwal Magik Cornelius Fudge yang telah meletakkan orang kepercayaannya, Prof. Dolores Umbridge (Imelda Staunton) yang cuba menguasai sekolah ini.

Pada masa yang sama Voldermort (Ralph Fiennes) masih mendendami Harry Potter akibat tewas dalam pertembungan yang lalu dan cuba memusnahkan Harry Potter yang telah mengetahui kematian bapa angkatnya Sirius Black (Gary Oldman) di tangan The Death Eaters Bellatrix (Helena Bonham Carter) kuncu Voldermort.

Memang mood filem ini lebih gelap dan suram dari aspek plot hingga kepada konsep visualnya berbanding filem-filem Harry Potter yang lalu. Ini kerana elemen dendam kejahatan yang semakin kuat dan cabaran yang semakin kompleks yang dihadapi oleh Harry Potter yang semakin dewasa.

Bukan itu sahaja, siri kali ini memperlihatkan emosi Harry yang semakin kompleks sesuai dengan peningkatan usia dari remaja ke anak muda. Dia juga semakin berusaha memahami permainan dan persaingan politik disekelilingnya.

Sungguhpun filem arahan David Yates dari segi visualnya tidak sehebat kecemerlangan visual Alfonso Cuarin dalam Harry Potter and the Prizoner of Azkaban. Ini kerana Yates memilih untuk memberikan tumpuan naratif kompleksiti emosi yang dilalui oleh Harry yang semakin dewasa.

Dari aspek spektakular visual filem ini hanya benar-benar menyerlah kira-kira 30 minit sebelum tamat dengan adegan aksi yang memperlihatkan permainan efek visual. Malah filem ini dianggap siri yang paling pendek dari segi durasi. Tetapi pendekatan Yates ini bukan satu kelemahan kerana dari segi struktur dramatiknya ia berjaya menuju klimaksnya dengan baik.

Yates memadatkan naratif Harry Potter dengan membuang beberapa subplots yang kurang penting tanpa meminggirkan kepentingan aspek keluarga dan teman-teman, kesetiaan dan juga perasaan remaja.

Namun bagi penggemar Harry Potter yang telah mengikuti dengan setia sejak filem yang pertama, usaha filem ini yang mengekalkan barisan pelakon utamanya, Radcliffe, Emma Watson dan Rupert Grint mereka akan dapat melihat transformasi watak, jiwa dan fizikal watak dan pelakonnya.

Dengan pengekalan ini dan naratif Harry Potter yang berkembang selari dengan perkembangan fizikal dan psikologi watak-watak utamanya, maka penonton seakan menonton Harry Potter dan dunianya yang sebenar serta dekat dengan mereka.

Filem: HARRY POTTER AND THE ORDER OF THE PHOENIX

Arahan: David Yates

Lakon layar: Michael Goldenberg

Pelakon: Daniel Radcliffe, Rupert Grint, Emma Watson, Helena Bonham Carter, Ralph Fiennes, Gary Oldman, Imelda Staunton, Emma Thompson, Fiona Shaw dan Brendan Gleeson.


[Dipetik dari akhbar Utusan Malaysia,17 Julai 2007]


0 comment(s) to... “Ulasan Tentang Filem Harry Potter and the Order of the Phoenix”

0 comments: