Ulasan Terkini Filem Love Is Cinta

Posted Jumaat, Julai 20, 2007 by Lelaki Herba in Labels:

Lebih menarik, bibit-bibit cinta pasangan popular ini mula berputik menerusi filem cinta romantis hebat berkenaan yang turut melakar kutipan `pecah panggung' (box office), sebelum ini.

Tahun ini, Acha dan Irwansyah bergandingan lagi dalam satu lagi filem cinta romantis yang tidak kurang menariknya, Love Is Cinta.

Apapun kata Acha, 17, dia dan Irwansyah cuba untuk mengelak daripada sering digandingkan dalam filem bagi memastikan penonton tidak bosan dengan lakonan mereka.

“Seperti yang anda lihat, hero filem ini adalah Raffi Ahmad (watak Doni).

Selain bawa watak Doni, Raffi juga membawa watak Ryan (yang sudah meninggal dunia dan rohnya masuk ke dalam tubuh Doni).

“Irwansyah yang bawa watak Ryan sebelum kemalangan yang meragut nyawanya di permulaan cerita ini cuma terbabit dalam 15 dari 100 babak dalam filem ini.

“Selain itu, saya juga tidak digandingkan dengan Irwansyah dalam projek filem baru saya selepas filem ini. Mungkin dalam trilogi filem ini nantipun, Irwansyah tidak akan berlakon dalam filem berkenaan.

“Buat peminat yang mungkin merindui gandingan kami lagi, mungkin selepas satu atau dua tahun, barulah kami digandingkan dalam filem lagi,” katanya.

Acha berkata, setakat ini, hubungan cinta mereka yang sudah terjalin selama setahun setengah berjalan lancar.

“Keluarga kedua belah pihak juga merestui hubungan cinta suci kami ini. Irwansyah juga sudah sering berkunjung ke rumah bertemu ibu bapa saya,” katanya.

Acha berkata, dia juga mengharapkan hubungan cintanya kali ini berkekalan hingga ke jinjang pelamin.

“Saya pernah putus cinta sebanyak empat kali dan Irwansyah adalah cinta kelima saya. Saya anggap ini `cinta lokasi' kerana saya mengalaminya sendiri ketika kami berlakon bersama dalam My Heart. Apapun, soal jodoh saya serahkan pada ketentuan Tuhan.

“Saya juga tidak pernah memandang pada paras rupa seseorang kerana jika anda ingin tahu, Irwansyah adalah teman lelaki saya yang paling tampan setakat ini,” katanya.

Acha yang bakal melanjutkan pelajarannya di Universiti Jakarta berkata, dia merancang untuk berkahwin dalam tempoh lima tahun lagi.

“Saya ingin memiliki segulung ijazah terlebih dulu sebelum bersedia untuk memilkul tanggungjawab berat sebagai isteri. Kalau boleh saya ingin berkahwin pada usia 23 tahun,” katanya.

Ketika ditanya mengenai harapannya pada filem Love Is Cinta, Acha yakin filem yang mengisahkan cinta dan persahabatan itu akan mendapat tempat di hati penonton tempatan.

“Setiap kali berlakon saya tidak pernah puas hati dengan hasil lakonan saya. Bagi saya, masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki dalam lakonan saya.

“Namun, sejak awal lagi, saya, Irwansyah dan Raffi lebih suka bersikap optimis dan yakin filem Love Is Cinta akan mendapat sambutan ramai di sini.

“Jika tidak mendapat kutipan sehebat My Heart, sekurang-kurangnya ia mencatat kutipan separuh dari filem berkenaan,” katanya.

Manakala, Irwansyah, 22, yang berasal dari Jakarta dan sudah empat kali putus cinta mengakui kehadiran Acha benar-benar mengubah hidupnya.

“Acha memiliki ciri-ciri wanita idaman saya. Dia seorang yang baik, solehah, pandai mengaji dan memiliki vokal yang bagus sebagai penyanyi,” katanya.

Sebagai kekasih kepada pelakon popular seperti Acha, banyak yang perlu dikorbankan Irwansyah bagi memastikan hubungan cinta mereka berkekalan.

“Bukan tidak ada dugaan dalam hubungan ini tapi kami saling percaya antara satu sama lain.

Saya juga sudah buang perasaan cemburu jauh-jauh dari fikiran saya ketika melihat kemesraan Acha dan Raffi dalam menjayakan babak romantis dalam filem Love Is Cinta kerana saya tahu itu hanya lakonan.

“Apatah lagi, saya sudah kenal Raffi selama enam tahun dan dia seperti adik angkat saya.

“Seperti Acha, saya juga ingin menamatkan pengajian jurusan perhubungan awam di kolej London School sebelum kami memikirkan secara serius untuk berkahwin,” katanya.

Mengenai filem Love Is Cinta, Irwansyshah juga akur, banyak kelemahan yang perlu diperbaiki dalam lakonannya.

“Saya menjayakan watak Ryan seperti yang dikehendaki sutradara filem ini. Sebagai contoh, ketika buat babak menangis, saya tidak boleh menangis beriya-iya kerana Raffi juga banyak menangis dalam cerita ini

“Saya sudah buat yang terbaik dan terpulang kepada peminat untuk menilai hasil lakonan saya itu,” katanya.

Selain filem Love Is Cinta, drama lakonannya, Andai Ku Tahu juga kini ditayangkan di stesen televisyen Indonesia.

Selain itu, Irwansyah juga sibuk membuat persiapan untuk rakaman albumnya yang dilancarkan pada Ramadan nanti.

Acha dan Irwansyah ditemui sempena prebiu filem Love Is Cinta di Cathay Cineleisure, Damansara.

Selain mereka, acara prebiu malam itu di semarakkan lagi dengan kehadiran pelakon muda berbakat besar Indonesia, Raffi Ahmad.

Love Is Cinta edaran RAM Entertainment Sdn Bhd bagi pihak PMP Entertainment Sdn Bhd dan Grand Brilliance Sdn Bhd ini menemui peminat tempatan di 25 pawagam seluruh negara bermula 19 Julai ini.

Filem ini juga turut mensasarkan kutipan sekurang-kurangnya 1.5 juta.

[Dipetik dari akhbar Harian Metro, Jumaat, 20 Julai 2007]

1 comment(s) to... “Ulasan Terkini Filem Love Is Cinta”

1 comments:

azleah berkata...

aik, 4 kali putus cinta?

aku ngan pakwe aku pun sama gak ;)