Filem Evan Almighty Hina Nabi Nuh???

Posted Khamis, Ogos 23, 2007 by Lelaki Herba in Labels:



Jurucakap sebuah panggung wayang terkemuka tanah air, berkata pihaknya menitikberatkan soal kelulusan sesuatu filem sama ada dari dalam mahupun luar negara dan ia dimestikan mendapat kelulusan secara rasmi daripada Lembaga Penapisan Filem (LPF) terlebih dulu.

"Pihak kami hanya menayangkan filem. Apa saja prosedur dan kelulusan bergantung kepada pengedar yang menguruskan sesuatu filem dan mereka yang bertanggungjawab berurusan dengan pihak berkuasa dalam mendapatkan kelulusan.

"Dalam hal filem Evan Almighty yang ditayangkan bermula 16 Ogos lalu yang mendapat bantahan daripada pelbagai pihak, kami tidak dapat memberikan komen lanjut kerana ia terletak di bawah bidang kuasa pengedar filem berkenaan iaitu United International Pictures (UIP)," katanya.

Tambahnya lagi, sekiranya mendapat arahan daripada kerajaan untuk menarik balik tayangan filem berkenaan, pihaknya tidak mempunyai halangan untuk tidak menyiarkannya. Tetapi ia mestilah juga mendapat pernyataan rasmi daripada UIP sendiri kerana mereka yang bertanggungjawab dalam hal ini.

Dalam hal ini, pihak panggung hanya menjadi 'orang tengah' menyiarkan sesuatu filem. Sebarang urusan berkaitan kelulusan, kontroversi dan sebagainya perlu ditangani pengedar.

Sementara itu, jurucakap UIP ketika dihubungi berkata, dia tidak dapat memberikan komen lanjut kerana ia membabitkan hal sensitif dan jika disalah tafsir boleh mengeruhkan lagi keadaan.

Tambahan pula orang yang mempunyai 'autoriti' untuk bercakap dalam hal ini, Pengarah Urusan UIP, Nicholas Yong, sedang bercuti dan tidak dapat memberikan komen lanjut mengenai filem Evan Almighty.

Filem arahan Tom Shadyac ini turut dilakonkan Steve Carell, Morgan Freeman, Lauren Graham, John Goodman dan Jimmy Bennett. Ia mengisahkan Evan yang baru saja dilantik sebagai ahli kongres. Dia kemudian meninggalkan kota Buffalo dan membawa keluarganya berpindah ke pinggir bandar utara Virginia.

Di tempat baru, hidupnya menjadi tunggang-langgang apabila Tuhan menjelma dan mengarahkan dia membina bahtera.



Keluarganya pening dan tidak pasti sama ada lelaki itu kini menghadapi krisis pertengahan umur atau benar-benar menerima wahyu.


Source: Akhbar Harian Metro, Khamis, 23 Ogos 2007

0 comment(s) to... “Filem Evan Almighty Hina Nabi Nuh???”

0 comments: