Ulasan tentang Festival Filem Malaysia ke-20 (FFM20)

Posted Sabtu, Ogos 04, 2007 by Lelaki Herba in Labels:

BELUM pun keputusan akhir Festival Filem Malaysia ke-20 (FFM20) diumumkan, nyata senarai akhir yang diumumkan baru-baru ini dipertikaikan hingga kredibiliti juri turut diperkatakan.

Penerbit Eksekutif filem Haru Biru, Raja Azmi Raja Sulaiman mempersoalkan bagaimana juri boleh menilai semua filem bertanding untuk peringkat awal hanya dalam masa sehari.

Mereka turut mempertikaikan kredibiliti juri dilantik kerana identiti mereka tidak didedahkan apatah lagi tahun ini tiada senarai calon Filem Terbaik diumumkan.

Melihat daripada senarai pencalonan lima terbaik boleh dikatakan juri cuba mencari filem yang ditangani dalam konteks Sinema Baru.

Jawatankuasa Penjurian FFM20, Nancie Foo sebelum ini berkata, panel juri dipilih daripada kalangan penggiat filem, pengamal media dan pakar perfileman tanah air dan kali ini tiada juri dari luar negara dipilih.

Penjurian peringkat pertama berlangsung dari 18 hingga 24 Julai lalu di Kompleks Finas, Hulu Klang manakala penjurian peringkat akhir dimulakan semalam di GSC Queensbay, Pulau Pinang.

Tahun ini juga menyaksikan FFM20 menerima paling banyak pencalonan berbanding tahun lalu dengan 23 filem cereka, 21 filem dokumentari, 14 filem animasi, 49 filem pendek dan 10 filem digital.

Pastinya siapa yang diumumkan membawa pulang piala pada majlis kemuncak FFM20 malam ini, dinantikan dengan penuh debaran.

Menampilkan tema Ke Arah Kecemerlangan Filem Malaysia, calon yang cuba menampilkan pembaharuan dalam pembikinan filem tempatan dan diselarikan dengan tema kemasyarakatan dilihat mempunyai kelebihan.



Apa yang membanggakan, filem yang berjaya mencatat kutipan tiket pecah panggung seperti Jangan Pandang Belakang turut diberi perhatian pihak juri.


Dalam erti kata lain ia membuktikan filem komersial tidak seharusnya meminggirkan nilai estetika yang harus ada pada sesebuah filem. Tahun ini filem Waris Jari Hantu mengungguli senarai FFM20 dengan 14 pencalonan.

Pun begitu, ia bukan satu petanda bahawa filem arahan Shuhaimi Baba itu akan menguasai malam FFM20 yang berlangsung di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang kerana saingan daripada filem lain tidak kurang hebatnya.

Andai juri melihat dari sudut Sinema Baru, pengarah muda kelulusan Akademi Filem New York, Zarina Abdullah, 27, mempunyai kelebihan. Apatah lagi filem yang dihasilkan, Chermin menampilkan sesuatu yang segar dan belum pernah dihasilkan pengarah tempatan.

Zarina antara pengarah muda yang harus diberi perhatian. Menerusi filem sulungnya, Zarina menunjukkan seorang pengarah harus tahu apa yang dimahukan dalam menggarap sesebuah filem. Sewaktu ditayangkan, kelemahan filem ini hanya dari sudut promosi tetapi tidak pembikinannya.

Maka tidak hairanlah selain disenaraikan untuk Pengarah Terbaik, nama Zarina turut dicalonkan dalam kategori Cerita Asal Terbaik, Lakon Layar Terbaik dan Penyunting Terbaik.

Chermin turut disenaraikan dalam enam kategori lain. Kalau menang tiga kategori penting membolehkan Zarina membawa pulang trofi utama Filem Terbaik.

Walaupun kali ini filem Mukhsin yang ditangani pengarah Yasmin Ahmad tidak mengungguli banyak pencalonan tetapi berada dalam dua kategori utama, Cerita Asal Terbaik dan Pengarah Terbaik tetap memberi peluang kepadanya untuk mengulangi sejarah kemenangan filem Sepet di FFM18.

Sejak FFM18, pertembungan antara karya Shuhaimi Baba (Waris Jari Hantu) dan Yasmin Ahmad (Mukhsin) dilihat seperti tidak boleh dielakkan lagi. Tahun ini kali ketiga mereka bersaing merebut gelaran Pengarah Terbaik mahupun Filem Terbaik

Satu lagi filem yang dilihat berjaya memberikan warna baru dalam industri filem tempatan adalah Cinta arahan Kabir Bhatia. Penulis skripnya, Mira Musthapa/Ara dilihat bijak mencantumkan lima kisah cinta tetapi dalam konteks berbeza dalam sebuah cerita.

Kelebihan untuk menang anugerah Lakon Layar Terbaik dan Cerita Asal Terbaik dilihat begitu kuat pada Cinta. Sekiranya juri memandang lebih kepada tema yang diangkat filem yang bertanding, pastinya Filem Terbaik menjadi milik filem terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB) ini.

Saingan kategori Pelakon Lelaki/Wanita Terbaik dilihat sengit kerana masing-masing membawakan watak berbeza dengan penghayatan sangat kuat.

Namun, kayu pengukur digunakan juri dalam menilai lakonan pelakon sekali lagi menjadi penentu.

Source: Akhbar Harian Metro,» Rap, Sabtu, 04 Ogos 2007

0 comment(s) to... “Ulasan tentang Festival Filem Malaysia ke-20 (FFM20)”

0 comments: