Isu Terkini WWE Armageddon

Posted Ahad, Disember 23, 2007 by Lelaki Herba in Labels:

Jericho yang di ambang kemenangan kecewa angkara ‘tangan tuhan gusti’

BUAT seketika, Chris ‘Y2J’ Jericho tampak seakan mampu menyelamatkan WWE daripada Randy Orton, sekali gus menamatkan penguasaan ‘The Legend Killer’ itu di gelanggang Armagedon.

Namun, usaha Jericho itu diganggu oleh kononnya daripada ‘tangan tuhan gusti’ yang akhirnya menyelamatkan Orton.

Mellon Arena di Pittsburgh, Pennsylvania, yang majoritinya Jerichoholics - penyokong Jericho - terkejut dengan tingkah mendadak komentator SmackDown, JBL ke atas penggusti veteran itu.

Beberapa saat sebelumnya, ribuan Jerichoholics melaung “Tap! Tap!” tatkala Orton menjerit dan menahan kesakitan selepas terperangkap dalam penyudah Walls of Jericho.


Bekas juara Undisputed WWE itu mengunci pergerakan Orton dan memulas tangannya seperti doh roti pretzel hingga mengakibatkan muka Orton berubah kemerah-merahan dan berkerut dalam keperitan.


Orton cuba mencapai tali gelanggang, namun tali itu seakan terlalu jauh baginya dan tangan Orton mula menggeletar.

Penonton mula teruja dengan situasi itu dan Jericho makin hampir melengkapkan misinya iaitu menamatkan kejuaraan Orton.

Tanpa disangka, JBL muncul di gelanggang dan menghentam Jericho dari belakang. Meskipun Orton kecundang di tangan Jericho dan pertarungan itu dibatalkan, dia masih memegang tali pinggang yang paling diingini Jericho - Kejuaraan WWE.

JBL pula menggelarkan dirinya tuhan gusti yang menyelamatkan kejuaraan Orton dan berasakan The Legend Killer itu mempunyai persamaan dengannya.

Yang pastinya, misi Y2J disabotaj oleh JBL dan Jericho kini mula memasang strategi baru untuk mencari peluang membenam kedua-duanya, JBL dan Orton di Raw.

“Dia tidak akan terlepas dengan semua ini,” kata Jericho yang enggan mengulas lanjut mengenai ‘dia’ yang dimaksudkannya.

Sementara itu, Edge kembali menjulang tali pinggang kejuaraan Heavyweight Dunia buat kali kedua dalam tahun ini selepas menumbangkan Batista dan Undertaker.

Dimaklumkan, Edge terlebih dahulu menghabiskan masanya memadu kasih dalam pejabat Pengurus Besar SmackDown, Vickie Guerrero.

Ketika saingan Survivor Series pada 18 November lalu, Vickie mengumumkan bahawa dia dan Edge adalah pasangan kekasih dan sejak itu, Vickie seringkali memberi kelebihan kepada Edge setiap kali ‘The Ultimate Opportunist’ itu beraksi di gelanggang.

Malah, pertarungannya dalam Triple Threat menentang Batista dan Undertaker itu juga khabarnya menerima bantuan daripada Vickie dengan meletakkan dua penggusti tambahan yang menyerupai Edge bagi menjatuhkan Batista dan Undertaker.

“Cinta Vickie sudah cukup memberi saya kekuatan tiga lelaki,” kata Edge yang cuba menafikan wujudnya bantuan Vickie.

Source: Akhbar Harian Metro > Arena, Ahad, 23 Disember 2007

0 comment(s) to... “Isu Terkini WWE Armageddon”

0 comments: