National Treasure 2: Book of Secrets

Posted Ahad, Disember 23, 2007 by Lelaki Herba in Labels:

National Treasure 2: Book of Secrets Trailer



Diane ulas penggambaran di air terjun dalam National Treasure 2: Book of Secrets

PERCATURAN si jelita kelahiran Jerman, Diane Kruger terjun ke dunia lakonan ternyata tidak silap. Selepas ‘penat’ memenuhi jadual hidup sebagai model fesyen yang menuntutnya beraksi di merata tempat, Diane memasuki sekolah drama untuk mempelajari selok-belok menjadi pelakon.

Mula dikenali menerusi filem pertama lakonannya, Troy bersama Brad Pitt dan Orlando Bloom pada 2004, bintang aktres berusia 31 tahun ini terus bersinar sejak beraksi dalam filem pengembaraan National Treasure.

Memegang watak ahli sejarah Amerika, Abigail Chase, Diane mengakui dia sebenarnya tidak membuat persediaan untuk berlakon dalam sekuel National Treasure itu.

Menurutnya, hanya selepas satu setengah tahun National Treasure ditayangkan pada 2004, dia ditawarkan oleh pengarah, Jon Turteltaub, untuk menjayakan sambungan filem berkenaan.

“Apabila membaca skrip, saya suka watak Abigail kerana tidak sama seperti filem pertama. Lagipun, lebih mudah bekerja dengan pengarah sama (Turteltaub).

“Karektor Abigail kali ini lebih kelakar dan tenang berbanding sebelumnya. Wataknya pun lebih realistik,” katanya.

Diane yang sebelum ini hanya terbabit dalam pembikinan filem di Eropah berasakan National Treasure membuatkan dirinya lebih terkenal dan memberinya peluang menonjolkan bakat pelakon.

“Apabila membaca skrip, saya tahu ada adegan dalam air, tetapi saya tidak sangka babak itu banyak menggunakan fizikal dan sukar.

“Penggambaran bagi babak berkenaan yang mengambil masa tiga minggu sungguh memenatkan dan mencabar. Saya tidak mahu lagi terbabit dalam adegan seperti itu. Tambahan pula, air itu bukan bersih,” katanya.



Diane mengulas penggambaran di air terjun dalam babak di Gunung Rushmore, iaitu lokasi terletaknya ukiran batu wajah empat bekas presiden Amerika.


Fasih berbahasa Inggeris, Jerman dan Perancis, Diane yang kini menetap di Paris lebih teliti dan selektif kerana dia tidak akan menjalani penggambaran filem yang tidak dipercayainya.

“Selepas filem ini, ramai pengarah menawarkan saya berlakon filem aksi, tetapi saya tidak mahu. Bagaimanapun, sekuel ini saya rasakan penting kerana jika tidak, saya tidak terkenal. Saya juga akan menimbang untuk berlakon episod seterusnya jika dipanggil,” katanya.

Ditanya sama ada dia memilih untuk terus mencipta nama dan kekal di Hollywood, Diane berkata, dia lebih suka tinggal di Eropah dan Perancis, tetapi akan ke Hollywood jika ada tawaran menarik.

“Saya suka kehidupan saya sekarang. Bagi saya, tidak susah untuk menyesuaikan diri di Hollywood. Namun, saya lebih menyukai Eropah,” katanya.

Menyentuh kerjasamanya dengan pelakon lain dalam filem itu, Diane menyifatkan Nicolas Cage yang memegang watak utama sebagai detektif sejarah (Benjamin Gates) sebagai unik.

“Hari ini dia (Cage) serius, tetapi hari lain dia buat kelakar,” katanya yang baru selesai menjalani penggambaran filem Mr Nobody di Montreal dan Jerman.

Source: Akhbar Harian Metro > Rap,Ahad, 23 Disember 2007



0 comment(s) to... “National Treasure 2: Book of Secrets”

0 comments: