FILEM: Cloverfield

Posted Ahad, Januari 20, 2008 by Lelaki Herba in Labels:

The official Cloverfield trailer



JIKA dilihat menerusi jalan ceritanya, seekor raksasa memusnahkan bandar di sekitar New York bukan sesuatu yang baru untuk santapan penonton. Namun, jika mahu dibandingkan dengan filem Godzilla atau King Kong yang pernah menambat hati peminat filem, rasanya Cloverfield mampu melakukan perkara sama.

Di bawah bimbingan sutradara, Matt Reeves, cerita ini seakan-akan ditayangkan bukan daripada mata pengarahnya. Pendek kata, shot penggambaran dalam filem ini dirakam daripada kamera individu yang dibawa oleh Hud (lakonan TJ Miller).

Di sini, Reeves menampilkan sedikit kelainan apabila cuba menonjolkan gambaran daripada mata seorang mangsa yang terbabit dalam insiden itu. Lebih menarik, idea yang cuba diketengahkan Reeves ‘menjadi’ walaupun kadangkala penonton sedikit pening dengan shot yang kurang konsisten.

Ketika Rob (Michael Stahl-David) meraikan hari terakhirnya di bandar besar sebelum berangkat ke Jepun, tiba-tiba satu kejadian tidak diingini berlaku.

Bandar Manhattan dikejutkan dengan satu letupan kuat yang bermula di dasar laut.

Tanpa mengesyaki sesuatu perkara tidak elok berlaku, Rob dan rakannya cuba melihat lebih dekat apa sebenarnya terjadi. Tanpa mereka sedari, seekor raksasa yang tidak diketahui asal usulnya menyerang dan memusnahkan setiap bangunan di bandar itu.

Lebih menarik, ia bukan saja memusnahkan bandar Manhattan, malah memakan manusia yang lari bertempiaran sebagai hidangannya. Terkejut dengan apa yang melanda mereka, Rob, Hud (yang memegang kamera) dan beberapa rakannya melarikan diri ke tempat selamat.

Di sini, Hud merakam segala-galanya yang menimpa mereka. Dari mula-mula mereka dikejutkan dengan insiden malang itu hinggalah ke pengakhiran cerita, kamera dipegang Hud jarang terlepas daripada genggamannya.

Tambah menyedihkan, kameranya merakam kehilangan setiap rakannya, termasuk dirinya yang terkorban. Malah, lensa kamera Hud juga merakam bagaimana pihak tentera mengebom Manhattan yang turut mengorbankan rakannya yang berjuang mencari jalan pulang untuk menyelamatkan diri.



FILEM: Cloverfield
PENGARAH: Matt Reeves
PELAKON: Lizzy Caplan, Jessica Lucas, TJ Miller, Michael Stahl-David, Mike Vogel dan Odette Yustman
GENRE: Thriller
EDARAN: United International Pictures

TAYANGAN: 17 Januari 2008
ULASAN: Firdaus Sahat


Source: Akhbar Metro Ahad, 20 Januari 2008







0 comment(s) to... “FILEM: Cloverfield”

0 comments: