FILEM: Sweeney Todd: The Demon Barber Of Fleet Street

Posted Ahad, Januari 20, 2008 by Lelaki Herba in Labels:

Sweeney Todd: The Demon Barber of Fleet Street (2007)



SELEPAS Edward Scissorhands, Corpse Bride dan trilogi Pirates of the Caribbean yang meninggalkan kesan di hati penonton, Johnny Depp kembali dengan satu lagi karektor hebat, Sweeney Todd.

Filem muzikal yang diadaptasi daripada karya Stephen Sondheim ini memaparkan kesengsaraan dan dendam membara seorang tukang gunting rambut apabila dianiaya hakim ternama.

Menerusi garapan gelap Tim Burton ini, kita dapat melihat perubahan drastik seorang suami dan ayah yang naif kepada pembunuh kejam yang membunuh mangsanya menggunakan pisau pencukur. Percikan darah dan tindakan tanpa belas kasihan itu cukup untuk menggambarkan kemarahan dan dendam membara jejaka yang memperkenalkan dirinya sebagai Sweeney Todd.

Menerusi karektor ini, kita dapat melihat kebolehan Depp menyanyi. Hasilnya membanggakan, malah suara aktor ternama ini mampu membuatkan penonton kasihan dengan nasib malangnya meskipun dia sebenarnya pembunuh kejam.

Penceritaan dimulakan dengan dendangan lagu No Place Like London yang mengajak penonton melihat gambaran sebenar kota London yang penuh dengan kekejaman dan ketidakadilan daripada kaca mata Todd.

Penonton seterusnya dibawa mengimbas kembali kisah lama Todd yang pernah membuka kedai gunting rambut di Fleet Street 15 tahun lalu. Ketika itu pemilik nama sebenar Benjamin Barker ini hidup bahagia di samping isteri jelita (Laura Michelle Kelly) dan bayi perempuan yang comel.

Kejelitaan isterinya bagaimanapun menarik perhatian hakim Turpin (Alan Rickman). Untuk mendapatkan wanita itu, hakim berjiwa binatang itu menjatuhi hukuman penjara ke atas Barker. Tukang gunting rambut malang itu dipenjara di Australia tanpa kesalahan.

Barker kembali semula ke London untuk mencari isteri dan anaknya, tapi kali ini dia pulang dengan nama Sweeney Todd. Apabila mengetahui isterinya mati selepas dirogol Turpin manakala anaknya, Johanna menjadi tahanan hakim kejam itu, Todd berazam menuntut bela.

Dengan bantuan Mrs Lovett (Helena Bonham Carter), dia membuka semula kedai gunting rambut di atas kedai pie daging wanita itu. Sejak itu, ramai penduduk London hilang tanpa dapat dikesan dan dalam masa sama kedai pie Mrs Lovett makin maju.



Cerita dikembangkan dengan karektor Anthony Hope (Jamie Campbell Bower), teman sepelayaran Todd yang mencintai Johanna dan merancang melarikan gadis itu daripada menjadi mangsa nafsu Turpin.


Turut menonjol, Toby, pembantu tukang gunting terkenal, Adolfo Pirelli (Sacha Baron Cohen) yang akhirnya bekerja di kedai Mrs Lovett. Kanak-kanak ini menjadi saksi utama pembunuhan kejam Todd.

Legenda Sweeney Todd memang terkenal, malah ia beberapa kali dihidupkan di layar perak. Pun begitu, banyak kejutan dan perubahan dalam sentuhan Burton dan pasti ia tindakan bijak. Ini terbukti apabila filem ini mendapat pengiktirafan di Golden Globe baru-baru ini apabila memenangi trofi Filem Terbaik bagi kategori Muzikal atau Komedi, manakala Depp pula membawa pulang trofi Aktor Terbaik bagi muzikal komedi.

FILEM: Sweeney Todd: The Demon Barber Of Fleet Street
PENGARAH: Tim Burton
PELAKON: Johnny Depp, Helena Bonham Carter, Sacha Baron Cohen, Alan Rickman dan Timothy Spall
GENRE: Musical/Thriller
EDARAN: Warner Bros Pictures
TAYANGAN: 24 Januari 2008

Source: Akhbar Metro Ahad, 20 Januari 2008



0 comment(s) to... “FILEM: Sweeney Todd: The Demon Barber Of Fleet Street”

0 comments: