Kehangatan Anugerah Juara Lagu ke-22 (AJL22)

Posted Sabtu, Januari 26, 2008 by Lelaki Herba in Labels:



PASTINYA kehangatan Anugerah Juara Lagu ke-22 (AJL22) yang dijadualkan berlangsung esok di Stadium Putra, Bukit Jalil berkurangan tanpa kehadiran Faizal Tahir yang mempertaruhkan dua lagu, Mahakarya Cinta dan Kasih Te r c i p t a .

Tambahan pula ramai menjangkakan lagu Mahakarya Cinta ciptaan Audi Mok dan lirik Shah Shamsiri, punya peluang besar untuk muncul juara kategori balada dan keselur uhan.

Lagu Kasih Tercipta ciptaan Ajai dan lirik Shuhaimi Baba turut bertanding dalam kategori sama bersama Ceritera Cinta, Izinku Pergi dan Harapan.

Begitupun seperti ditegaskan Pengurus Besar Hiburan, Sukan dan Rekreasi TV3, Azhar Borhan sebelum ini, tanpa Faizal, AJL22 akan tetap berlangsung seperti dirancang memandangkan acara tahunan yang ditunggu peminat muzik tempatan saban tahun ini mempertandingkan karya terbaik dihasilkan komposer.

Seperti tahun sebelum ini penjurian dibuat awal beberapa hari sebelum majlis berlangsung dan setiap lagu dinilai menerusi tiga elemen penting iaitu kreativiti, keaslian dan ke b e r ke s a n a n .

Enam juri menilai lagu bagi setiap kategori sekali gus memilih juara keseluruhan sementara tiga orang mengadili persembahan dan vokal terbaik.

Ini bermakna siapa saja yang mendendangkan lagu nyanyian Faizal, tidak sedikitpun menjejaskan peluang penciptanya untuk memenangi anugerah utama.

Sebelum ini, Ajai memberi kenyataan dia sendiri akan membawakan lagu Kasih Tercipta dan TV3 sendiri mencadangkan juara Mentor musim pertama, Fiq membawakan lagu Mahakarya Cinta.

Antara tiga kategori ini, pastinya persaingan paling menarik untuk dilihat menerusi kategori Pop Rock apabila pihak TV3 membuat kejutan memilih enam lagu dan bukan lima seperti ditetapkan dari awal.

Sekiranya juri berpegang kepada tiga elemen disebutkan Azhar, enam lagu dipertandingkan dalam Pop Rock memiliki kelebihan untuk muncul juara keselur uhan.

Begitupun dari sudut komposisi, kelainan wujud pada lagu ciptaan komposer muda seperti kumpulan Estrange dengan lagu Itu Kamu dan Janjiku ciptaan sepenuhnya Taja dan Tass.

Saingan dalam kategori Pop Rock pastinya datang daripada lagu ciptaan Lin Li Zhen, Destinasi Cinta dan lirik karya Rozi Razak (PSNN) didendangkan Datin Seri Siti Nurhaliza. Ia mempunyai kelebihan dari sudut susunan muzik.

Sementara dalam kategori Etnik Kreatif, ia bergantung kepada apa yang dimahukan pihak juri daripada komposer.

Sekiranya keaslian dicari, ia ada pada lagu nyanyian Ramlah Ram, Dirgahayu ciptaan Eddie Hamid dan lirik Hairul Anuar Harun.

Sekiranya mereka mahu komposisi lebih segar, ia ada pada lagu nyanyian Nora, Samudera ciptaan Johan Nawawi dan lirik ditulis Ahmad Fedri Yahya.

Juara AJL22 akan menerima RM25,000 sementara pemenang setiap kategori memperoleh RM12,000. Bagi persembahan terbaik, pemenang menerima RM10,000 dan begitu juga dengan anugerah vokal terbaik.

Source: Akhbar Harian Metro, Sabtu, 26 Januari 2008



0 comment(s) to... “Kehangatan Anugerah Juara Lagu ke-22 (AJL22)”

0 comments: