Rezeki Aliff Aziz

Posted Rabu, Februari 27, 2008 by Lelaki Herba in Labels:

Penyanyi Singapura tak sangka cipta nama pada usia muda, raih populariti di negara ini

Lagu yang menjadi single pertamanya itu kini menduduki carta lagu popular di radio tempatan. Secara tidak langsung ia menjadikan nama Aliff menjadi sebutan dan penyanyi itu digilai remaja.



Lebih menarik apabila peminat Kelab Peminat Dafi turut turun padang ketika Aliff mengadakan persembahan sempena ulang tahun kedua Hot FM, Big Jam di Petaling Jaya, Sabtu lalu, semata-mata mahu memberikan sokongan kepada Aliff.

Ternyata, apa yang berlaku ibarat mimpi indah menjadi kenyataan bagi bekas juara rancangan realiti televisyen Anugerah 2007 di Singapura itu kerana sepanjang hidupnya, Aliff tidak pernah terfikir bakal meraih kejayaan pada usia muda.

Begitupun jelas Aliff, apa yang diperoleh sekarang tidak datang bergolek kerana banyak pengorbanan harus dilakukan bagi memastikan kerjaya pilihannya ini dapat berkembang dengan baik.

“Sebagai anak muda, sudah pasti antara pengorbanan yang harus saya tempuh bekerja keras dan membahagikan masa antara pelajaran dan kerjaya nyanyian.

“Bagi memastikan kedua-dua bidang ini dapat dilakukan seiringan, saya terpaksa berhenti sekolah kerajaan dan meneruskan pengajian di sekolah swasta.

“Begitu juga sepanjang pertandingan Anugerah berlangsung, saya turut berusaha keras bagi memastikan penonton setia dapat menerima bakat sekali gus memastikan mereka mengundi saya. Ia menuntut banyak tumpuan dan kreativiti,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran albumnya, baru-baru ini.

Begitupun, Aliff yang mempunyai ketinggian 170 sentimeter ini tidak menafikan tuah dan nasib turut menyebelahinya apabila lagu dendangannya, Sayang Sayang ciptaan Panji dan diterbitkan anggota kumpulan Sofaz, Zimi, mendapat perhatian peminat.



“Sebagai penyanyi muda dan masih mentah mengenai industri muzik di Malaysia, sudah tentu saya berasa amat bangga apabila diberi peluang untuk mendendangkan lagu hasil ciptaan komposer terkemuka di sini seperti Azlan Abu Hassan dan Neves dari kumpulan Pretty Ugly.


“Tidak dinafikan lagu ciptaan mereka membuatkan saya sangat teruja mendendangkannya. Ia sesuai dengan jiwa saya terutama lagu Nyala dan Ku Sendiri ciptaan Azlan yang memang menjadi kegemaran saya,” katanya.

Perhatian yang diterima sekarang ini, bagaimanapun jelas Aliff dianggap satu kejayaan kecil dan baru di peringkat permulaan kerana sebagai bintang muda dan mentah perjalanan kerjaya seninya masih jauh.

Biasanya apabila ada penyanyi kelahiran Singapura mencipta nama di sini mereka dikatakan akan dipulaukan peminat seberang tambak. Perkara itu pernah diluahkan beberapa orang artis mereka termasuk Hetty Sarlene.

Perkara sama tidak terkecuali ditanyakan kepada Aliff, adakah populariti diraih di sini memberi implikasi kurang menyenangkan membabitkan peminat di Singapura?

Bijak menjaga hati peminat Aliff menjelaskan setakat ini perkara diperkatakan itu tidak pernah berlaku.

Source: Akhbar Harian Metro, Rabu, 27 Februari 2008



0 comment(s) to... “Rezeki Aliff Aziz”

0 comments: