Bahang kehangatan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007

Posted Jumaat, Mac 14, 2008 by Lelaki Herba in Labels:



Bahang kehangatan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007 kini makin terasa. Dalam masa dua minggu lagi segala teka-teki akan terjawab. Anugerah anjuran akhbar Berita Harian ini akan diadakan di Arena Of Stars, Genting Highlands dan akan disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen rasmi TV3 dan stesen radio Hot FM pada jam 8:30 malam, 30 Mac ini.


Sebanyak 16 kategori yang dipertandingkan pada ABPBH edisi ke 21 ini termasuklah Anugerah Bintang Paling Popular 2007. Petang semalam, bertempat di Grand Salon Lounge, Palace of The Golden Horses, satu majlis pra kemuncak telah diadakan bagi mengumumkan nama-nama artis yang akan mengacarakan malam ABPBH 2007, penyampai trofi dan persembahan artis.

Bagai yang telah dijangka, Fauziah Dato’ Ahmad Daud (Ogy) dan Raja Azura yang akan mengacarakan majlis yang membawa tema ‘Batik Glam’ tersebut. Pasti gamat suasana dengan celoteh dua pengacara yang tidak asing lagi ini. Paling penting, gandingan ini dilihat mampu melaksanakan tanggungjawab yang diberikan.



Untuk penyampai trofi pula, sebanyak 26 orang selebriti yang akan berada di pentas utama. Sebahagian daripadanya ialah AC Mizal, Afdlin Shauki, Awie, Fauziah Latiff, Hans Isaac, Iqram Dinzly, Ning Baizura, Nora Danish, Rashidi Ishak, Rozita Che Wan, Zul Yahya, Erra Fazira, Noorkhiriah, Noryn Aziz dan Sharifah Shahira.


Seperti anugerah-anugerah berprestij yang lain, pihak penganjur juga telah mengatur beberapa persembahan hebat daripada artis-arrtis terkemuka tanahair seperti Amy Search, Anuar Zain, Atilia, Awie, Ella, Fasha Sandha, Liza Hanim, Datuk Siti Nurhaliza, Hattan dan Meet Uncle Hussain. Malah, Dynaz dan Fasha Sandha juga akan tampil dengan persembahan istimewa. Persembahan mereka ini akan diiringi oleh pemuzik-pemuzik 40-piece orchestra di bawah pimpinan Ramli MS.

Sementara itu, pelbagai hadiah menarik menanti pembaca bertuah akhbar Berita Harian/ Berita Minggu yang membuat pemilihan tepat dalam borang pencalonan akhir ABPBH 2007. Hadiah utama bagi kategori pembaca ialah sebuah kereta Peugeot 307 1.6 bernilai RM140,100 tajaan Nasim Sdn Bhd, anak syarikat Kumpulan Naza.

Habib Jewel Sdn Bhd telah menaja barangan kemas untuk pemenang tempat kedua, ketiga dan keempat. Setiap hadiah bernilai RM50,000, RM20,000 dan RM10,000. Habib Jewels turut menaja hadiah lain berupa 38 barangan kemas yang bernilai RM5,000 setiap satu.

Source: Laman web gua.com.my


0 comment(s) to... “Bahang kehangatan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007”

0 comments: