Drama online seram pertama via internet...

Posted Sabtu, Mac 22, 2008 by Lelaki Herba in Labels:



Sambutan hebat yang diterima kebanyakan drama atau filem genre seram di tanah air, mendorong laman web interaktif, www.gua.com.my muncul dengan produk terbarunya, drama online seram yang pertama di Malaysia, Jelma.




Jelma disasar akan mendapat sambutan yang luar biasa kerana masyarakat buat julung kali akan menonton elemen seram dan suspens dipadatkan dengan penuh kreatif.

Drama online seram bersiri 20 episod ini bersiaran selama empat minit setiap episod dan kini ditayangkan setiap Isnin, Rabu dan Jumaat di laman web Gua.

Dengan menampilkan pemenang Anugerah Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia 2004, Muhammad Murali Abdullah sebagai pengarah, drama terbitan Zeel Productions Sdn Bhd ini turut diperkuatkan dengan kehadiran muka baru Sofia J Rhyland sebagai penulis skrip.

Ia juga dibarisi pelakon seperti Norman Hakim sebagai Rosli, Naim Daniel (Reza), Fauziah Nawi (Mak Tom), Aida Aris (Azizah), Maimon Mutalib (Nenek), Haliza Misbun (Dr Mulyani), Kathy Azean (Halimah), Zaefrul Nordin (Ustaz Rashid) serta Iskandar Kamarudin (Wak Jang) merangkap pembantu pengarah dan pengarah seni.

Selaku teraju utama, Norman berkata, dia teruja kerana pertama kali dapat berlakon drama seram sepanjang sedekad pembabitannya di persada seni lakon tanah air.

“Ia juga pengalaman pertama saya berlakon drama secara online. Walaupun ruang lingkup penontonnya terhad, ia memberi kepuasan kerana tidak terikat dengan tapisan dan kekangan luar. Ia sesuatu yang baru dan saya yakin konsep sebegini akan mencipta fenomena tersendiri di kalangan peminatnya.

“Bagaimanapun, berlakon drama online ada cabaran tersendiri kerana memerlukan ekspresi maksimum kerana ruang lingkupnya terhad. Jadi saya perlu gunakan segala kepakaran yang ada untuk melakukan yang terbaik.

“Walaupun drama sebegini agak sensitif, tapi saya mengikut pendapat ramai dan mengkaji beberapa perkara terlebih dahulu,” katanya ketika pelancaran Jelma di Bora Asmara, Taman Tun Dr Ismail, Petaling Jaya baru-baru ini.

Bagi Aida Aris pula, walaupun dia pernah beberapa kali berlakon dalam drama seram sebelum ini, Jelma disifatkan unik dan berbeza kerana punya kekuatan tersendiri selain disiarkan secara online.

Walaupun sudah lebih 15 tahun berlakon, Aida tidak cerewet dan bersedia menerima apa saja watak. Katanya, tawaran yang diberikan pengarah dan penerbit bukan 'semberono', sebaliknya mereka buat kajian dan yakin dengan kebolehan seseorang pelakon dipilih.

Jelma rentetan tragedi yang berlaku kepada pengurus restoran, Rosli dan keluarganya apabila anak yang dilahirkan sebenarnya jelmaan iblis bertopengkan manusia, yang berpunca daripada amalan khurafat.

Rosli yang bergantung kepada azimat dan tangkal untuk melariskan perniagaannya. Mereka tidak menyedari potensi sebenar kuasa kanak-kanak itu sehinggalah waktunya sudah terlewat.

Karya asli ini berdasarkan kajian dan pengalaman terhadap kepercayaan mistik masyarakat dunia terutamanya di Nusantara. Umumnya kepercayaan Melayu Nusantara moden masih lagi utuh terhadap unsur mistik, paranormal dan animisme.

Menarik sekali, plot Jelma digarap daripada pengalaman peribadi penulis skrip, Sofia J Rhyland yang berkesempatan melihat sendiri pengalaman perit mangsa pengamal ilmu hitam ini dan langsung mewujudkan Jelma berdasarkan pemerhatiannya.

“Walaupun, drama ini bertujuan sebagai hiburan semata-mata, masyarakat masih boleh mengambil iktibar dan panduan dari tragedi yang berlaku kepada keluarga dalam drama ini. Saya mahu masyarakat tahu perkara sebegini bertentangan dengan akidah dan amalan buruk akan makan diri sendiri.

“Saya mengambil masa tiga hari untuk membuat skrip ini dan merombak semula selama seminggu apabila mendapat tahu teknik imej janaan komputer (CGI) tidak dapat dilakukan,” katanya.

Pengurus Besar Portal Hiburan dan Gaya Hidup Alt Media Sdn Bhd, M Zulkifli Abdul Jalil, pula berkata, penerbitan Jelma bersandarkan kejayaan drama romantik Kerana Karina dan drama komedi Malaysiatalents.com yang disiarkan di www.gua.com.my sebelum ini.

“Jelma bukan saja boleh ditonton di laman web malah di mana-mana saja anda berada kerana ia juga boleh didapati di Gua Mobile menerusi telefon mudah alih 3G. Ia seiring dengan matlamat Gua untuk memberi hiburan yang tiada batasan,” katanya.

Source: Akhbar Harian Metro,Sabtu, 22 Mac 2008


0 comment(s) to... “Drama online seram pertama via internet...”

0 comments: