Filem: Duyung

Posted Ahad, Mac 09, 2008 by Lelaki Herba in Labels:



Menggunakan Pulau Semporna, Sabah sebagai lokasi penggambaran ternyata pilihan bijak. Kejernihan air dan panoramanya yang indah berjaya memukau penonton untuk terus setia hingga ke



penghujung tayangan.

Pastinya tarikan utama filem ini tidak lain tidak bukan fotografi di bawah air dan gaya renang Maya Karin yang sangat cantik. Kesanggupan pelakon jelita ini berendam di dalam air berjam-jam lamanya dan ‘terperap’ dalam kostum khas bernilai RM250,000 nyata berbaloi.

Kerja keras Maya wajar dipuji kerana bukan mudah menyelam di dasar lautan bersama kaki yang diikat dengan besi (dalam kostum duyung) dan hanya bergantung dengan kekuatan tangan dan bahu. Bukan semua orang mampu melakukan renangan secantik dan seyakin itu.

Bagaimanapun, sangat mengecewakan apabila produksi ini tidak memanfaatkan kelebihan yang ada — pelakon berbakat besar, kostum menarik dan kelengkapan peralatan canggih.

Apa ertinya Duyung andai kemunculan Maya sekadar ‘penyeri’. Watak itu tidak dikembang, sebaliknya fokus lebih diberi kepada Jimmy, lakonan Saiful Apek dan beruk peliharaannya, Orix (Yassin).

Sudahnya, garapan Razak kali ini tidak jauh berubah dengan hasil kerjanya sebelum ini. Yang boleh dibanggakan hanya teknik fotografi bawah air dan kostum duyung.

Jalan ceritanya longgar dan meleret-leret. Penonton disogok dengan babak yang tidak perlu, antaranya perbualan panjang Jimmy dengan keluarga buah hatinya, Aspalela dan usikan Jimmy untuk menakut-nakutkan anak gadis yang asyik membasuh pakaian.

Bukankah lebih menarik jika babak ‘meleret-leret’ itu digantikan dengan mengembangkan watak duyung. Misalnya gambaran kesunyian, isi hati sebenar si duyung, asal usul atau pertemuan makhluk jelita itu dengan pasangannya.

Razak bertuah kerana pemandangan cantik, fotografi bawah laut, lakonan berkesan Maya dan penggunaan imej janaan komputer menyelamatkan sentuhannya kali ini.



Duyung mengisahkan Jimmy memungut sampah setiap hari bagi memastikan perkampungan nelayannya sentiasa bersih. Keprihatinannya bagaimanapun menjadi bahan ejekan penduduk kampung, malah dia dikatakan gila apabila berkawan baik dengan haiwan peliharaannya, Orix.


Pandangan negatif itu membuatkan bapanya, Pak Keoi malu. Biarpun berkecil hati dengan sikap bapanya, Jimmy tetap berpegang dengan kata-kata ibunya, iaitu jika selalu membersihkan pantai, dia dapat melihat duyung di kawasan itu.

Dalam masa sama, Jimmy mencintai Aspalela, anak Wak Pagek, tetapi hasratnya untuk mengahwini buah hatinya terhalang apabila Kordi turut meminati Aspalela.

Satu hari Jimmy bertemu duyung bernama Puteri apabila makhluk separuh manusia dan ikan itu tersangkut di jaring miliknya. Dek kerana terlalu gembira, Jimmy menceritakan pertemuan itu kepada keluarganya dan penduduk kampung. Bagaimanapun, tidak seorangpun mempercayai kata-katanya.



Info

FILEM: Duyung

ARAHAN: Prof Madya A Razak Mohaideen

PELAKON: Saiful Apek, Maya Karin, Awie, Yasmin Hani, Yassin, Hafidzuddin Fazli, Abu Bakar Omar, Rosnah Mat Aris dan Raja Nor Baizura

GENRE: Komedi Romantik/Fantasi

EDARAN: Cathay Keris Films

TAYANGAN: 6 Mac 2008

Source: Akhbar Harian Metro, Ahad, 09 Mac 2008



0 comment(s) to... “Filem: Duyung”

0 comments: