Gosip Yusry,Zizan

Posted Sabtu, Mac 01, 2008 by Lelaki Herba in Labels:

Mana tidaknya, tahun lalu saja Rozita berlakon 22 drama. Antaranya Susuk, Jelatang, Diari Ramadhan Rafique, Tetamu Rindu, Bisikan Hati dan Sesuci Cinta Sofia.

Rozita juga disenaraikan finalis Pelakon TV Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2007) yang berlangsung 30 Mac ini. Namanya disenaraikan sebaris dengan Fasha Sandha, Rita Rudaini, Eja dan Dynaz.


"Saya sebenarnya terkejut apabila dicalonkan. Sebabnya, saya tidak pernah menganggap saya popular. Apatah lagi niat saya menceburi bidang lakonan untuk mencari rezeki menyara kehidupan saya dan anak-anak selepas bercerai dengan bekas suami.

"Apapun, saya berterima kasih kepada peminat kerana mengundi dan sebagai pelakon baru, tercalon dalam lima yang terbaik sudah cukup besar ertinya," katanya.

Rozita juga diintai produser filem apabila menjadi pilihan menggantikan tempat Rita Rudiani dalam filem Kantoi arahan Ahmad Ibrahim (Mat London). Ini filem kedua Rozita selepas ditawarkan berlakon filem Misteri Balan Balan The Movie tetapi filem ini belum ditayangkan lagi.

Dalam filem Kantoi yang diterbitkan Zamriez Golden Pictures Sdn Bhd dan Alvien Daniel Production ini, Rozita membawakan watak doktor. Turut berlakon Yasin, Azhar Sulaiman, Rosnah Johari dan Fazura.

"Alhamdulillah, saya bersyukur sangat kerana tawaran berlakon mencurah-curah sehingga setiap hari ada saja tawaran yang saya terima sehinggakan boleh memilih mana yang terbaik untuk saya.

"Tidak kisahlah sekalipun menggantikan tempat Rita dalam Kantoi, ia tetap rezeki buat saya dan anak-anak. Walaupun Kantoi sebuah filem komedi, saya satu-satunya pelakon yang membawakan watak serius," katanya.

Di sebalik keikhlasannya mencari rezeki membesarkan anak-anak, Ammar Effendy, 12 dan Aniq Ezzra, 10, Rozita juga tidak terkecuali daripada hukum karma dunia seni sebagaimana artis wanita popular yang lainnya.



Selepas dikatakan intim dengan pelakon kacak, Zizan Nin, Rozita yang sedang hangat menerusi drama Ai D Beijing yang disiarkan di TV3 menerusi Samarinda, jam 10.30 malam, dilanda gosip panas kononnya kini bergelar isteri kepada hartawan bergelar Tan Sri 'R'.


Tidak cukup dengan gosip itu, Rozita juga dikatakan wanita istimewa yang bertakhta di hati bekas suami Erra Fazira, Yusry Abdul Halim ketika ini.

"Memang saya terkejut apabila menerima ucapan tahniah dan selamat pengantin baru daripada peminat. Terfikir juga, bila masa saya berkahwin.

"Saya tanya peminat sendiri dari mana mereka mendengar cerita ini dan memaklumkan bahawa saya langsung tidak mengenali siapa Tan Sri 'R'. Entahlah, sampai sekarang saya masih tertanya-tanya bagaimana cerita seperti ini boleh timbul.

"Itu satu hal. Gosip bercinta dengan Yusry lagi kelakar. Sebabnya saya tidak pernah berjumpa secara empat mata dengannya melainkan mengenalinya melalui media cetak dan elektronik.

"Barangkali Yusry sendiri tidak mengenali siapa saya. Itulah kadang-kadang saya pelik bila kita memang ada skandal dengan seseorang itu tidak pula ditulis tetapi yang tiada kena-mengena dan tak kenal langsung pula boleh jadi bahan gosip," katanya.

Rozita yang belum bersedia mempunyai komitmen menambah, meskipun rimas dengan gosip yang melanda dia cuba membiasakan diri.

Lantas, menerima hakikat inilah hutang yang perlu dibayar insan bergelar artis apatah lagi dia sendiri yang memutuskan arah hidupnya untuk menjadi seorang pelakon.

"Terus-terang saya katakan, sehingga kini saya masih kekok setiap kali dikerumuni peminat. Bukan bererti saya tidak suka malah cukup menghargai mereka. Cuma, saya rasa terkejut kerana tidak menyangka sejauh ini peminat menghargai kehadiran saya.

"Yang lucunya, setiap kali hendak singgah membeli barang walaupun sekejap, ia pasti akan jadi lama kerana saya tidak mahu menghampakan permintaan peminat yang mahu bergambar. Sehinggakan adik saya sudah malas menemani saya ke mana-mana.

"Tak nafikan, kadang-kala itu terasa rindu dengan kehidupan saya sebelum bergelar artis di mana saya bebas melakukan apa yang saya inginkan.

"Sekarang ini saya kena lebih berhati-hati dan menjaga tingkah laku kerana setiap pergerakan diperhatikan," katanya.

Source: Akhbar Harian Metro, Sabtu, 01 Mac 2008



0 comment(s) to... “Gosip Yusry,Zizan”

0 comments: