Kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 (ABPBH 2007) esok !!!

Posted Sabtu, Mac 29, 2008 by Lelaki Herba in Labels:




Nama-nama seperti Datin Seri Siti Nurhaliza, Mawi, Saiful Apek, Rosyam Nor, Ziana Zain, M Nasir, Sofia Jane, Eman Manan, Zainal Abidin dan Aishah pernah diangkat peminat sebagai Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) sejak diperkenalkan pada 1990.



Siti membuktikan anugerah utama itu menjadi miliknya selama tujuh tahun sejak 1996 hingga 2001 dan sekali lagi pada 2004 sebelum Mawi merangkul anugerah yang sama selama dua tahun berturut-turut mulai 2005.

Esok kemuncak ABPBH2007 bakal berlangsung di Arena Of Stars, Genting Highlands. Mampukah Mawi atau Siti mengulangi kejayaan yang sama atau mungkin anugerah utama ini diberikan kepada artis lain? Pengacara dan penyampai radio popular, Fara Fauzana diramalkan punya peluang cerah untuk merampas takhta ini daripada Mawi.

Biar siapa pun pemenangnya, apa yang lebih menarik perhatian ialah keputusan pemenang bukan dirancang sebaliknya ditentukan peminat yang mengundi menerusi borang undian di Berita Harian. Inilah keistimewaan ABPBH yang bersikap telus dalam aspek penjurian sejak diperkenalkan pada 1987.

Memasuki edisi ke-21, ABPBH2007 masih menjadi acara paling berprestij kerana mengiktiraf segenap karyawan seni tanah air sama ada penyanyi, pelakon, pengacara TV dan penyampai radio.

Sebanyak 16 anugerah dipertandingkan manakala empat lain, Anugerah Khas Bintang Popular, Anugerah Seniman/Seniwati Veteran dan Anugerah Biduan/Biduanita Veteran dipilih penganjur berdasarkan sumbangan mereka dalam industri.

Dalam setiap kategori yang dipertandingkan, masing-masing menunjukkan saingan sengit dan sukar sebenarnya untuk menentukan siapakah pemenang.

Kategori Penyanyi Lelaki dan Wanita Popular pastinya menjadi tumpuan peminat. Pemenang tahun lalu, Mawi masih diberi harapan untuk mengulangi kejayaan untuk kategori lelaki walaupun dicabar Anuar Zain, Hazami, Faizal Tahir dan Adam.

Siti yang masih bertanding bagi Penyanyi Wanita Popular dan tidak pernah tewas sejak 1996, tahun ini dicabar Adibah Noor, Jaclyn Victor, Mila dan Misha Omar. Siti diramalkan masih punya pengaruh kuat dan belum mampu disaingi pencabar lain.

Bagi kategori Pengacara TV Lelaki Popular misalnya, Aznil Nawawi yang menjadi pemenang empat kali berturut-turut sejak 2003, kembali bertanding bersama AC Mizal, Ally Iskandar, Azwan Ali dan Wahid Senario.



Biarpun Aznil tidak lagi menjadi pengacara Akademi Fantasia 6 (AF6), impaknya sebagai pengacara nombor satu negara masih kuat di hati peminat. Bagaimanapun, kehadiran finalis lain tidak seharusnya diperkecilkan terutama AC yang kini popular dengan AC Di Sini.

Kategori Pengacara TV Wanita Popular juga memberi cabaran sengit apabila Fara Fauzana yang menang dua kali sejak 2005, berentap dengan Raja Azura yang juga pernah menang dua kali (2002 dan 2004). Turut berada dalam Top 5, Fauziah Datuk Ahmad Daud, Cheryl Samad dan Sharifah Shahirah.

Dalam kategori Penyampai Radio Lelaki Popular, ketiadaan pemenang empat kali anugerah, Halim Othman bagaikan membuka ruang kepada lima finalis, Aznil, AC, Faizal Ismail, Khairil Rashid dan Kieran untuk merebut takhta kategori itu.

Namun, Linda Onn yang pernah mencatat rekod kemenangan sama seperti Halim, masih terus bertanding bagi kategori wanita. Linda dicabar Fara Fauzana, Abby Fana, Nana dan Nila Kurnia.

Meninjau kategori Artis Komedi Lelaki Popular pula, pastinya nama Saiful Apek menjadi sebutan. Sungguhpun, AC, Afdlin Shauki, Piee dan Zul Yahya tercalon sama dalam kategori ini, sebaliknya sejarah pernah membuktikan Apek sebagai pemenang sebanyak lima kali.

Begitu juga dengan pemenang lima kali, Sheila Rusly tampil bertanding semula dalam kategori wanita bersama-sama Adibah Noor, Kenchana Dewi, Sharifah Shahirah dan Raja Azura.

Pengaruh Apek juga terpalit dalam kategori Pelakon Filem Lelaki Popular yang disaingi hebat bekas pemenang sebanyak tujuh kali, Rosyam Nor. Apek atau Rosyam punya peluang cerah walaupun Pierre Andre, Rusdi Ramli dan Afdlin turut disenaraikan.

Lebih menarik, kategori Pelakon Filem Wanita Popular dibarisi tiga bekas pemenang lalu, Fasha Sandha, Maya Karin dan Erra Fazira. Tidak terkecuali Pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah Skrin 2007 dan Festival Filem Malaysia ke-20, Vanidah Imran turut mencuba nasib ditambah kehadiran Sharifah Amani.

Saingan Fasha juga hebat untuk Pelakon TV Wanita Popular yang disertai bersama Siti Shahrizah (Eja), Rita Rudaini, Dynas dan Rozita Che Wan.

Kemunculan pelakon baru terus mewarnai persada seni tanah air apabila kategori Artis Baru Lelaki dan Wanita Popular terus dipertandingkan. Bard R1, Dafi, Diddy, Fiq dan Kaer dipertemukan menerusi kategori Artis Baru Lelaki Popular manakala kategori wanita tertumpu pada Farah Asyikin, Fouziah Gous, Heliza, Julia Ziegler dan Mila.

Kategori lain, Artis Berkumpulan/Duo Popular yang membariskan Jinbara, Kristal, Sofaz, Spider serta Misha dan Andy Flop Poppy serta Penyanyi Nasyid Popular (Rabbani, Raihan, Hijjaz, In Team dan Mirwana).

Daripada sejarah lalu, pemenang ABPBH seperti dapat diramalkan dan tidak banyak berbeza berbanding tahun sebelumnya. Selain disertai calon sama, peminat juga masih mengundi pemenang tahun lalu dan tidak berani mengundi calon baru.

Sebabnya, peminat mahu menang hadiah yang disediakan penganjur untuk pembaca yang meneka pemenang dengan tepat.

Source: Akhbar Harian Metro, Sabtu, 29 Mac 2008



0 comment(s) to... “Kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 (ABPBH 2007) esok !!!”

0 comments: