Penat lelah Aliff Aziz bikin Album...

Posted Isnin, Mac 10, 2008 by Lelaki Herba in Labels:



Bertitik tolak dari proses itu, kesedaran Aliff berhubung realiti kehidupan seorang artis yang penuh pancaroba dan tidak seindah dibayangkan hingga dia berjanji untuk tidak mempersiakan peluang yang sudah pun dalam genggamannya.



Keazaman anak muda ini tambah berbaloi apabila kemunculannya menerusi single pertama, Sayang Sayang yang turut dipilih sebagai judul album, mendapat sambutan ramai.

"Tiada kata yang mampu diungkapkan melainkan sangat gembira dan terharu. Saya langsung tidak menyangka kehadiran saya di sini disambut baik penggemar muzik dan penggiat seni.

"Sepuluh hari bersengkang mata dalam studio di mana sebelah pagi perlu menghafal lirik kemudian malamnya pula merakamkan suara. Belumpun penat hilang, keesokan harinya bergegas pulang ke Singapura dan kembali ke sekolah seperti biasa.

"Namun, segala penat-lelah bagaikan terbayar apabila dimaklumkan Sayang Sayang mendapat sambutan. Jika diberi peluang, saya sememangnya teruja melakukan proses ini sekali lagi," katanya.

Membuktikan keseriusannya dalam nyanyian, Aliff mengambil keputusan untuk meneruskan pengajian di sekolah swasta.

"Dalam keadaan saya sedang sibuk sekarang dengan promosi album serta undangan persembahan, memang sukar untuk saya mengikuti jadual belajar yang ditetapkan.

"Saya tidak boleh mengharapkan pihak sekolah memahami situasi saya bahkan saya juga perlu menghormati prinsip mereka.

"Disebabkan itulah sejak menyertai Anugerah, saya mengambil keputusan meneruskan pengajian di sekolah swasta kerana ia membolehkan saya menguruskan pelajaran dan karier serentak," katanya.



Mengimbas pembabitannya dalam seni suara, segalanya bermula ketika menyertai program realiti, Anugerah anjuran MediaCorp yang disiarkan di Suria TV12 di republik itu.


Percubaan pertamanya itu membuahkan hasil apabila Aliff muncul juara sekali gus memperoleh kontrak rakaman di bawah label Sony BMG Music Malaysia.

"Pembabitan dalam Anugerah benar-benar mengubah hidup saya. Saya amat terhutang budi dengan peminat kerana tanpa sokongan mereka yang terus-terusan mengundi sehingga muncul juara, mungkin sampai sekarang saya belum berpeluang menghasilkan album.

"Lebih mengharukan lagi, saya diberi peluang bekerjasama dengan komposer disegani ramai seperti Azlan Abu Hassan, Iman Wan, Neves, Omar K, Zimie (Sofaz) termasuk Panji iaitu pencipta lagu Sayang Sayang yang memperkenalkan nama saya.

"Kalau hendak dihitung pengalaman yang tidak seberapa ini, memanglah saya belum layak menyanyikan lagu mereka. Ternyata saya cukup berpuas hati dengan pembikinan album ini kerana diberi kebebasan memilih konsep yang saya sukai.

"Berteraskan genre pop yang segar, terdapat juga lagu berirama R&B dan balada. Kepelbagaian irama yang diketengahkan dalam album ini secara tidak langsung menonjolkan kepelbagaian vokal dalam nyanyian.

"Beberapa lagu lama turut dirakamkan seperti More Than Words serta lagu popular di China dan Jepun, Cinta Arjuna dan Harusku Teruskan yang liriknya diterjemahkan dalam bahasa Melayu oleh Ireani Yaacob," katanya.

Paling menyukai lagu Nyala dan Ku Sendiri ciptaan Azlan, tidak keterlaluan dikatakan peminat setia Anuar Zain, Frankie J dan kumpulan B2K ini antara bakat baru dari Singapura yang paling menyerlah ketika ini.

Dengan raut wajah comel serta ketinggian 185 sentimeter, Aliff sememangnya menjadi kegilaan remaja perempuan. Khabarnya, populariti mendadak dimiliki anak sulung daripada tiga beradik ini membuatkan ramai artis tempatan berasa tergugat.

"Tidak pernah terlintas untuk mencabar sesiapa sebaliknya saya sekadar mahu berkongsi kebolehan serta muzik saya bersama peminat. Malah, saya sedar perjalanan saya masih jauh dan banyak perkara perlu diperbaiki," katanya.

Selain sibuk mempromosi album, khabarnya nama Aliff disenaraikan sebagai artis yang membuat persembahan di malam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007, yang diadakan di Arena Of Stars Genting Highlands, 30 Mac ini.

Aliff tidak menafikan hal itu namun selagi belum ada hitam putih dia enggan berharap.

"Seseorang memaklumkan saya hal ini. Secara peribadi, siapa yang tidak mahu buat persembahan di anugerah yang berprestij seperti itu. Memang menjadi impian saya, tapi biarlah semuanya diputuskan secara rasmi," katanya

Tatkala rancak berbual, Aliff sempat merakamkan ucapan terima kasih kepada syarikat rakaman Sony BMG Music serta semua komposer yang terbabit dalam pembikinan album Sayang Sayang.

"Tidak dilupakan pihak media cetak dan elektronik, deejay radio yang sentiasa memberi publisiti yang memberangsangkan. Tanpa bantuan anda semua, semua ini tidak akan memberi sebarang hasil.

"Saya juga bertuah kerana mempunyai peminat yang sentiasa menyokong karier saya selain ibu bapa dan ahli keluarga yang cukup menyayangi serta merestui minat saya," katanya.

Source: Akhbar Harian Metro,Isnin, 10 Mac 2008




0 comment(s) to... “Penat lelah Aliff Aziz bikin Album...”

0 comments: