Cinta Khai, Rosma dimeterai

Posted Sabtu, April 26, 2008 by Lelaki Herba in Labels:


Walaupun sudah lima tahun memadu kasih, Mohd Khairul Nizam Mohd Wahi atau Khai, 29, tetap berdebar untuk bergelar suami kepada Rosmayati Sidik (Rosma), 23.




“Bagaimanapun saya bernasib baik selama lima tahun berkawan, kami saling memahami perangai masing-masing. Saya berharap Allah permudahkan majlis perkahwinan kami dan semoga jodoh kami berkekalan selama-lamanya,” katanya.



Pasangan itu berkenalan ketika mereka menyertai Akademi Fantasia musim pertama (AF1). Waktu itu Rosma baru berusia 18 tahun dan bersifat kebudak-budakan, keras kepala serta panas baran.

“Apa yang saya nampak ketika itu adalah kejujuran Rosma. Dia tidak pernah menyembunyikan karakternya yang sebenar. Ketika di AF1 lagi Rosma mudah mendengar nasihat saya sehingga menjadikan kami rapat.

“Daripada perkenalan biasa, muncul keserasian dan timbul rasa cinta. Tetapi kala bercinta suasananya lain. Apabila sudah berkahwin tanggungjawab sebagai pemimpin keluarga lebih berat. Nasihat daripada keluarga, banyakkan bersabar dan bertolak ansur.

“Bagaimanapun saya bernasib baik selama lima tahun berkawan, kami saling memahami perangai masing-masing. Saya berharap Allah permudahkan majlis perkahwinan kami dan semoga jodoh kami berkekalan selama-lamanya,” katanya.

Jam 10 pagi ini, bertempat di Masjid Putrajaya, pasangan itu akan bertunang dan sejam kemudian diadakan pula upacara pernikahan. Kemuncak majlis ialah acara persandingan yang akan berlangsung di Dewan Persidangan Kompleks Perbadanan Putrajaya, Presint 3, jam 8 malam esok.

“Dek jadual kerja saya dan Rosma yang padat, kami mengadakan satu majlis persandingan saja. Saya berasal dari Johor Bahru dan Rosma pula dari Kuantan, Pahang. Kami juga mempunyai ramai saudara mara di negeri lain, jadi lebih baik semua berkumpul di Kuala Lumpur (KL).

“Putrajaya dipilih sebagai lokasi untuk mengabadikan detik berbahagia kami kerana ia antara mercu tanda kebanggaan rakyat negara ini. Ramai juga di kalangan saudara-mara yang belum berpeluang menyaksikan keindahan Putrajaya,” katanya.

“Jadi apabila mendengar perkahwinan ini akan diadakan di Putrajaya, mereka tidak sabar untuk turun ke KL. Kami juga akan merakamkan gambar perkahwinan di sekitar tempat menarik yang terdapat di sana,” katanya.

Pada hari berbahagia itu, Rosma menerima wang hantaran RM16,161.61 dan mas kahwin, RM100. Jelas Khai, jumlah wang hantaran itu atas perbincangan bersama sempena mengambil tarikh hari lahir Rosma yang disambut pada 16 April.

Rosma juga menerima sembilan dulang hantaran berbalas 13 dulang. Antara barangan hantaran daripada Khai termasuk beg tangan, kasut, manisan, wangian, telekung dan al-Quran. Rosma pula memberi Khai, tali pinggang, kasut, manisan, kuih muih dan sebagainya.

Seperti perkahwinan pasangan artis lain, Rosma dan Khai juga menerima pelbagai tajaan termasuk daripada Butik Dirisik, Pertama Kompleks, yang menyediakan persalinan majlis pertunangan, pernikahan dan persandingan.

Bagaimanapun atas nasihat keluarga Rosma, Khai tidak bersedia untuk bercerita mengenai kos perkahwinan mereka yang sebenar.

“Apa yang penting majlis perkahwinan ini berjalan lancar,” kata Khai yang menginginkan empat cahaya mata, dua lelaki dan dua perempuan.

Source: Akhbar Harian Metro, Sabtu, 26 April 2008



0 comment(s) to... “Cinta Khai, Rosma dimeterai”

0 comments: