Konsert Hot FM Mini Jam

Posted Ahad, Mei 04, 2008 by Lelaki Herba in Labels:
Aliff Aziz


SEKALIPUN cuaca panas terik memancar segenap penjuru Dataran Pahlawan, Melaka minggu lalu, ia tidak sedikitpun menjadi halangan buat pendengar Hot FM untuk hadir memeriahkan Mini Jam.




“Alif cukup berbangga dapat menyertai program sebegini, malah Alif juga mahu berterima kasih kepada Hot FM atas peluang yang diberikan. Tidak salah juga jika Alif katakan Alif turut terhutang budi kepada Hot FM kerana berpeluang dapat bersama-sama peminat Alif di sini,” katanya.



Acara yang bermula seawal jam 10 pagi itu dimulakan dengan pelbagai permainan membabitkan penyampai stesen radio itu, artis dan pengunjung.

Nyata, semua mereka memberi sepenuh komitmen dan tidak seorang pun merungut kepanasan mahupun kepenatan melayan kerenah peminat.

Lebih mengharukan, status ‘popular’ diketepikan asalkan peminat yang hadir terhibur, sekalipun kulit terbakar dek kehangatan matahari.

Menurut Fara Fauzana, biarpun cuaca panas dan diiringi kepenatan, sukar untuknya menggambarkan perasaan gembira apabila dapat bersama pendengar Hot FM.

“Tiada kata-kata untuk saya gambarkan perasaan ketika itu. Walaupun program dimulakan jam 10, tetapi ada pengunjung tiba di Dataran Pahlawan satu jam lebih awal.

“Begitu hebat semangat ditunjukkan mereka, jadi kami juga perlu melakukan yang terbaik.

“Lagipun, program ini sememangnya diadakan untuk berterima kasih kepada pendengar kerana terus menerus memberi sokongan kepada Hot FM. Jadi, kalau mereka sanggup berpanas semata-mata untuk memberi sokongan, kenapa kami tidak?

“Mini Jam Hot FM di Melaka adalah yang pertama untuk tahun ini. Selepas ini, kami akan melawat Alor Star, Kedah; Batu Pahat, Johor dan yang terakhir Pulau Pinang,” katanya.

Menurut Anne pula, Mini Jam kali ini memasuki tahun kedua. Pun begitu, sambutan yang diterima tetap luar biasa.



“Rasanya, Mini Jam Hot FM ditunggu-tunggu ramai. Bukan sekadar pendengar, tetapi kami juga teruja untuk menjayakan program ini.

“Biasalah, bukan selalu kami dapat bersama dengan pendengar. Sedikit sebanyak, hubungan yang terjalin antara pendengar dan penyampai dapat dieratkan, bukan di radio saja.

“Sekalipun penat dengan acara begini, tetapi sebagai penyampai, kami puas, malah ia juga antara cabang tugas yang perlu dilakukan. Jika mahu diikutkan, siapalah kami tanpa pendengar yang tidak jemu-jemu memberi sokongan. Jadi, ini antara cara untuk kami menghargai mereka,” katanya.

Lain pula bagi artis baru dari seberang tambak, Alif Aziz. Tawaran yang diterima untuk memeriahkan mini konsert yang diadakan pada petang Sabtu lalu memberikannya seribu satu pengalaman baru.

“Rasanya, bukan mudah untuk artis baru seperti Alif diundang untuk memeriahkan Mini Jam Hot FM. Walaupun Alif kelahiran Singapura, Hot FM masih membuka peluang sebegini buat Alif.

“Sedikit sebanyak, Alif dapat bertemu peminat, selain mengumpul pelbagai pengalaman baru buat kerjaya Alif yang baru bermula.

“Alif cukup berbangga dapat menyertai program sebegini, malah Alif juga mahu berterima kasih kepada Hot FM atas peluang yang diberikan. Tidak salah juga jika Alif katakan Alif turut terhutang budi kepada Hot FM kerana berpeluang dapat bersama-sama peminat Alif di sini,” katanya.

Selain itu, pengunjung turut dimeriahkan dengan persembahan artis popular seperti Aku Band, Ahli Fikir, Faizal Tahir, Sofaz, Aizat AF5 dan Ezlynn. Sekalipun masing-masing kepenatan, persembahan yang diberi sungguh bertenaga dan menyeronokkan.

Source: Akhbar Metro Ahad, Ahad, 04 Mei 2008



0 comment(s) to... “Konsert Hot FM Mini Jam”

0 comments: