Musly Ramlee "Jelmaan" P. Ramlee

Posted Sabtu, Jun 07, 2008 by Lelaki Herba in Labels:

Siti Nurhaliza & Musly Ramlee




PAT Ibrahim, koreografer P Ramlee The Musical bertanya saya tatkala bersua muka ketika waktu rehat pementasan musim kedua muzikal itu, Rabu lalu.




Musly sebenarnya membawa P Ramlee dengan gaya tersendiri, tiada terikut corak persembahan Sean. Itu yang saya nampak selama lebih dua jam berada di dewan mewah berkenaan. Malah, iras wajah dan mirip suara itu menenggelamkan perbandingan yang cuba dibuat. Inilah kekuatan Musly.



Antaranya mengenai perubahan yang dilakukan untuk musim ini berbanding sebelumnya yang dibuat tahun lalu.

Terus terang saya suka pementasan muzikal P Ramlee ini - baik yang dulu mahupun yang sekarang. Cuma sekarang lebih kemas, dibuang mana yang dirasakan 'dragging' (panjang) dan persembahan artis terutama essemble yang makin meyakinkan.

Selalunya orang akan membandingkan perubahan teraju, daripada muka 'antarabangsa' Sean Ghazi kepada Musly Ramlee yang lebih berwajah 'domestik' terutama yang sering melihatnya melalui RTM. Saya mungkin tidak terkecuali, apatah lagi apabila disuakan soalan oleh Pat.

Saya bersetuju dengan beberapa rakan media yang menyifatkan P Ramlee 'hidup' kembali di IB. Wajah iras dan suara mirip Allahyarham Tan Sri P Ramlee milik Musly tidak saya nafikan. Musly mempunyai kekuatan itu untuk dia menjadi P Ramlee, bintang idolanya sejak kecil.

Musly sebenarnya membawa P Ramlee dengan gaya tersendiri, tiada terikut corak persembahan Sean. Itu yang saya nampak selama lebih dua jam berada di dewan mewah berkenaan. Malah, iras wajah dan mirip suara itu menenggelamkan perbandingan yang cuba dibuat. Inilah kekuatan Musly.

Tidak sia-sia 'menjadi P Ramlee' sejak kecil sehingga memenangi pertandingan Bintang P Ramlee di Sarawak pada 1996. Sebagai Ramlee dalam muzikal itu, Musly terutama melalui suaranya, menghidupkan semula lagu-lagu nyanyian arwah.

Lengkap lagi dengan kelunakan suara milik Liza Hanim yang saya tidak nafikan antara tarikan penting setiap malam selama dua minggu pementasan itu berlangsung.

Karisma Musly terserlah sebagai penyanyi dan peniru gaya P Ramlee. Bagaimanapun saya jelaskan kepada Pat, karisma sebenar Musly sebagai pelakon atau bintang teater, belum nampak jelas. Bukan kerana saiz tubuhnya yang kecil, tetapi banyak lagi faktor yang mempengaruhi untuk kita melihat seseorang yang boleh digelar pelakon teater. Elemen ini amat berbeza dengan apa yang kita lihat di TV.

Saya cuba mencari perkataan yang lebih sesuai daripada karisma untuk menggambarkan Musly seperti apa yang cuba saya maksudkan. Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga (cetakan ketiga) 1997, karisma membawa erti kualiti (daya kepimpinan, daya penarik atau sifat tertentu seseorang individu yang menjadikannya berupaya mempengaruhi atau menjadi perangsang kepada khalayak ramai.

Secara kasarnya dan dalam skop pementasan P Ramlee The Musical, Musly menepati ciri-ciri karisma yang dimaksudkan kamus terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka itu. Mungkin perkataan itu tidak sesuai untuk saya gambarkan mengenai Musly di sini.

Pembentukan karektor boleh dibina, selain bakat semula jadi dan saya percaya, Musly boleh mencapai tahap karisma yang cuba saya maksudkan itu sedikit masa lagi. Latihan profesional dan pendedahan amat perlu untuk proses pembentukan itu.

Tidak perlu jauh, pasukan Datin Seri Tiara Jacquelina seperti Datuk Zahim Al-Bakri dan Adlin Aman Ramli 'bisa' menyalurkan bisa mereka untuk membentuk karisma sebagai pelakon teater, pelakon di atas pentas terutama pentas besar.

Pun begitu, persembahan malam itu tidak mengecewakan saya. Malah, berbangga dengan Enfiniti Productions yang masih mengekalkan aras tanda terbaik untuk teater Melayu tanah air. Begitu juga dengan Musly, perlu lagi banyak pendedahan untuk menjadi 'lebih besar' selepas ini.

Musly selepas 12 tahun cuba berenang di lautan gelora dunia hiburan tanah air, baru kini, bakatnya dihargai. Kalau sebelum ini, dia cuma berjinak-jinak di Angkasapuri melalui program hiburan terutama yang bersangkut paut dengan P Ramlee serta di pentas kecil, rezeki Musly semakin besar.

Terima kasih kepada Enfiniti yang 'nampak' Musly lebih mendalam. Musly boleh pergi jauh, bukan sekadar meniru gaya dan bergaya sebagai P Ramlee tetapi peluang yang diberikan badan profesional seperti syarikat milik Tiara ini seharusnya menjadi platform berguna untuknya melebarkan sayap.

Seperti yang saya katakan tadi, malam itu juga saya teruja dengan vokal dan lakonan Liza. Dunia album dan nyanyiannya agak sepi sebab tidak ramai yang cuba menghargai bakat sebenar yang ada pada ibu kepada seorang anak perempuan ini.

Vokalnya besar, sesuatu yang perlu kita banggakan tetapi biasalah orang kita. Sebagai Saloma, Liza juga menghidupkan semula isteri ketiga P Ramlee itu. Tidak terkecuali Melissa Saila yang dinanti-nantikan kerana kekesanannya selaku Norizan.

Tepukan gemuruh juga buat 'essemble' yang terlalu penting untuk muzikal seperti ini. Di atas kertas, mereka bukan pemeran watak utama tetapi mereka amat penting sekali bagi membuatkan sesebuah muzikal 'menjadi. Saya kagum dengan Lily Zarina (Baby Erin), Zeqhty Nattrah, Ruzana Ibrahim dan Asrul Zaidi (sekadar beberapa nama). Ternyata kita punya ramai bakat besar!

Source: Akhbar Harian Metro, Sabtu, 07 Jun 2008, Oleh Abie Abdullah




0 comment(s) to... “Musly Ramlee "Jelmaan" P. Ramlee”

0 comments: