Rozita lali digosip VIP ?

Posted Sabtu, Oktober 04, 2008 by Lelaki Herba in Labels:



PELAKON jelita, Rozita Che Wan, 35, puas digosip dengan golongan VIP sehingga ada yang berkata dia sudah ...




PELAKON jelita, Rozita Che Wan, 35, puas digosip dengan golongan VIP sehingga ada yang berkata dia sudah...



berkahwin. Namun dia menerima segala gosip itu dengan hati terbuka kerana baginya biarlah apa orang hendak kata asalkan keluarga dan anak-anak tahu siapa dirinya.

Sampai pada satu tahap ada isteri salah seorang VIP itu menghubungi ibu dua anak ini, Amar Affendy Azuar Effendy, 12 dan Aniq Ezzra Azuar Affendy, 10 untuk mengetahui sejauh mana cerita itu betul. Rozita yang tidak mudah melatah menjawab pertanyaan itu dengan tenang yang dia tidak pernah kenal pun siapa VIP itu.

“Saya tidak kenal dengan VIP itu jadi macam mana orang boleh menuduh saya berkahwin dengannya. Banyak perkara yang saya tidak tahu tetapi orang lain lebih mengetahuinya. Saya pun hairan. Sudah banyak kali saya digosip bercinta dan berkahwin dengan orang itu dan ini tetapi saya masih tidak 'laku' juga.

“Masih tetap bersendirian membesarkan anak-anak. Tetapi saya tidak kisah dan tidak berkecil hati pun kerana saya tahu hidup anak seni memang begitu. Kalau betul saya berkahwin, orang pertama yang akan tahu juru solek saya, Amy Janz. Namun macam mana saya hendak mengaku sudah berkahwin kerana tiada sesiapa yang masuk meminang.

“Anak-anak faham sangat situasi saya. Apabila mereka terdengar atau membaca cerita mengenai saya, mereka tahu itu gosip semata. Mereka berdua amat 'melindungi' saya. Ada ibu rakan sekolah mereka yang cuba mengorek rahsia saya sudah berkahwin atau belum. Dengan selamba mereka menjawab 'rahsia'.

“Ada juga yang bertanya mereka saya sudah ada teman lelaki atau tidak. Amar dan Aniq pandai 'cover line' dan tidak pernah menceritakan peribadi saya kepada sesiapa. Anak lelaki cepat matang dan tahu membawa diri. Oleh itu saya tidak perlu risau kerana mereka lebih cekap daripada saya menangkis gosip,” katanya.

Tambah Rozita, dia tidak kisah orang hendak kata apa asalkan ada orang mahu ambilnya berlakon. Itu lebih penting baginya daripada memikirkan perkara yang bukan-bukan mengenainya.

Ramadan tahun ini, Rozita sibuk berlakon dan membuat hamper bersama adiknya, Rohaizah Che Wan atau Jaja. Sudah mahu balik kampung pun, masih ada yang hendak menempah hamper tetapi terpaksa ditolak.

“Kami lima beradik perempuan kreatif pandai menggubah, menjahit dan memasak. Waktu majlis perkahwinan Rubytah dengan Mazlan (Lan Pet Pet) baru-baru ini, Jaja menggubah hantaran. Apabila cerita itu keluar dalam akhbar dan Nona (TV3) ramai pula yang berminat hendak menempah.

“Selepas raya, ada dua bakal pengantin minta Jaja menggubah hantaran mereka. Kalau sambutan baik, elok juga kalau dapat buka butik pengantin yang menyediakan semua kelengkapan perkahwinan bawah satu bumbung.

“Kerja kuat dulu cari duit buat modal. Berniaga dengan adik beradik sendiri lebih senang berbanding berkongsi dengan orang lain. Pernah juga tidak sependapat apabila menyediakan hamper tetapi selepas itu ok semula. Kalau bergaduh dengan orang lain tentu berpanjangan dan boleh saman menyaman,” katanya.

Dengan kesibukannya berlakon dan menjual hamper membuatkan Rozita tidak dapat berlakon dalam drama Diari Ramadan Raffique Beraya. Drama bersiri keluarga itu pernah diterbitkan selama dua musim (2006 dan 2007) tetapi tahun ini ia dibuat untuk drama raya saja.

Tahun ini juga kali kedua Rozita merayakan Aidilfitri tanpa Amar dan Aniq kerana mereka beraya bersama bekas suaminya, Azuar Effendy.

Menurut Rozita, tahun ini giliran Amar dan Aniq beraya bersama bapa mereka kerana tahun lepas giliran mereka bersamanya. Rozita tidak bimbang melepaskan mereka beraya tanpanya kerana anaknya sudah besar dan boleh menjaga diri.

Lagipun, Rozita tidak dapat bercuti lama pada Syawal ini dan akan kembali ke Kuala Lumpur pada hari raya keempat kerana raya kelima dia akan ke lokasi drama baru, Bara Yang Ku Genggam.

“Tidaklah terasa sangat hari raya ini tanpa Amar dan Aniq kerana saya bercuti pun sekejap saja. Tahun sebelumnya saya bercuti lama juga dan selepas Hari Raya kami sekeluarga akan pergi bercuti.

“Tetapi tahun ini bapa mereka akan membawa mereka bercuti ke Brisbane, Australia. Mereka pun tidak kisah sangat beraya dengan siapa cuma kemeriahan Hari Raya lebih terasa di kampung saya di Alor Setar. Kampung nenek sebelah bekas suami di Keramat, KL,” katanya.

Source: Akhbar Harian Metro, Sabtu, 04 Oktober 2008 , Oleh Nor Akmar Samudin.



0 comment(s) to... “Rozita lali digosip VIP ?”

0 comments: