Norman Hakim dan Abby Abadi sah bercerai !!!

Posted Jumaat, Disember 19, 2008 by Lelaki Herba in Labels:


KUALA LUMPUR: “Saya menempuh hari ini (semalam) bagai menjalani hukuman mati. Apa yang berlaku adalah ketentuan Allah dan sudah tertulis dalam qada serta qadar-Nya....




Mahkamah terpaksa menangguhkan prosiding hampir 45 minit bagi membolehkan Norman bersedia melafazkan cerai terhadap...



“Sekiranya perceraian yang terbaik buat kami, saya kena melepaskannya dengan cara baik,” kata Norman Hakim atau Mohamed Norhakim Zaidon, 32.

Sebelum itu, pelakon drama bersiri Gerak Khas itu melafazkan talak terhadap isterinya, Abby Abadi, 31, di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini, semalam.

Mahkamah terpaksa menangguhkan prosiding hampir 45 minit bagi membolehkan Norman bersedia melafazkan cerai terhadap Abby atau Arbaeyah Abdul Manan, 31.


Ini berikutan Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammed mahu Norman melafaz dalam keadaan tenang dan berniat dalam hati.

Norman yang ditemui di luar mahkamah dengan ditemani abangnya, berkata dia berpuasa untuk mencari kekuatan dalaman bagi berhadapan dengan situasi itu.

Katanya, dia bagaikan terawang-awang ketika hendak melafazkan cerai terhadap Abby.

“Sebak dan tak tahu apa yang saya rasa ketika melafazkan cerai kepada Abby. Rasa terawang-awang seketika, tetapi saya kena kembali berpijak di bumi nyata.

“Pada saat saya hendak melafazkan cerai, terimbas zaman indah yang pernah kami lalui bersama dan saat manis berkasih sayang sehingga rumah tangga kami dikurniakan tiga cahaya mata.

“Semuanya bermain di fikiran, tapi kehidupan perlu diteruskan seperti biasa. Paling penting sekarang saya harap tiada permusuhan antara saya dengan Abby dan masih boleh menjalinkan silaturahim demi kepentingan anak,” katanya.

Norman yang masih mahu mempertahankan rumah tangganya, berkata dia terkejut apabila Abby beria-ia hendak meneruskan perceraian itu.

Dia berkata, Abby bersungguh-sungguh hendak meneruskan tuntutan cerai itu, justeru kerana tidak mahu keadaan menjadi lebih kusut, dia lepaskan Abby dengan cara baik.

“Gerak hati saya mengatakan terimalah perpisahan itu dengan hati terbuka. Selepas ini, saya akan meneruskan hidup macam biasa dan memberi tumpuan kepada anak. Meskipun kami sudah bercerai anak terus menjadi tanggungjawab saya.

“Walaupun pahit, saya terpaksa menerima kenyataan. Hidup terlalu pendek dan tidak perlulah berdendam antara satu sama lain,” katanya.

Abby pula berkata dia lega kerana segalanya berjalan lancar dan kini tumpuannya kepada kerja dan anak.

“Saya yang minta perceraian dan dapat apa yang saya mahu. Saya nekad meneruskan tuntutan perceraian kerana keadaan kami tidak mengizinkan untuk hidup bersama. Saya tidak nampak ada usaha pihak Norman untuk kami berbaik semula.

“Ini perceraian kali kedua dan ia sangat berbeza dengan perceraian kali pertama dulu. Jauh di sudut hati, saya berasa sedih untuk anak kerana tidak dapat menyelamatkan rumah tangga. Mereka masih kecil untuk memahami apa yang terjadi,” katanya.

Dengan meminta peminat mendoakan kebahagiaannya bersama anak, Abby berkata, dia kini perlu memikirkan masa depan.

Abby mengesahkan dia dan Norman sudah saling memohon maaf menerusi SMS.

Sementara itu, ketika kedua-duanya tiba di mahkamah, Norman memberi salam kepada Abby dan bertanya khabar.

Selepas kes perceraian mereka selesai sekitar jam 11.30 pagi, masing-masing yang dikerumuni wartawan kemudian membawa haluan masing-masing.

Pagi semalam, selain peguamnya, Ahmad Nasib Johari, Abby ditemani sahabat baik yang juga bekas anggota kumpulan Elite, Shasha Saidin bersama suami, Salyo dan pelakon baru, Zulkifli Arifin.

Zul kini antara rakan artis yang agak rapat dengan Abby turut terkena tempias gosip apabila gambar mereka berdua disiarkan dalam akhbar ini, dua minggu lalu.

Wartawan tidak melepaskan peluang bertanyakan kehadiran Zul ke mahkamah.

Menurut Zul, dia datang untuk memberikan sokongan kepada Abby yang dikenalinya selepas berlakon bersama dalam drama Apa Itu Cinta.

“Saya ke mahkamah untuk memberi sokongan terhadap apa yang dilalui Abby. Ini dugaan paling besar dalam hidupnya. Walaupun gosip panas mula melanda persahabatan kami, ingin saya tegaskan yang kami hanya kawan dan rakan sekerja.

“Abby kawan yang baik dan banyak membantu saya dalam lakonan. Saya amat memahami rentak dunia seni dan sanggup menghadapi apa jua risiko. Adakala gosip perlu untuk orang seni, tetapi jangan hingga melampaui batas,” katanya.

Masalah rumah tangga mereka bertambah meruncing apabila Norman ditangkap khalwat dengan pelakon baru, Memey atau Suhaiza Suhami, 20, di Ukay Perdana, 30 November lalu.

Source: Akhbar Harian Metro.



0 comment(s) to... “Norman Hakim dan Abby Abadi sah bercerai !!!”

0 comments: