Norman Hakim dan Memey didakwa ?

Posted Rabu, Januari 21, 2009 by Lelaki Herba in Labels:



HULU KLANG: “Ramai yang mahu kami berkahwin, tapi ia bukan penyelesaian terbaik,” kata Suhaiza Suhaimi, 21, atau Memey ketika ditanya pandangannya berhubung kes khalwat dengan Norman Hakim atau Mohamed Norhakim Zaidon, 33...




“Saya sebenarnya tak tahu situasi di mahkamah, apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan. Saya perlukan panduan Norman yang banyak pengalaman. Intim atau tidak hubungan kami terpulang kepada masyarakat, tetapi bagi saya biasa saja...



Memey yang ditemui selepas menghadapi pertuduhan khalwat dengan Norman di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini, semalam, berkata memang dia berasa malu apabila ditangkap khalwat, tetapi berkahwin bukan jalan terbaik.

“Hari ini (di mahkamah semalam) saya gementar, tapi lambat-laun saya terpaksa menghadapinya juga. Terasa terlepas satu ‘beban’ dan akan menghadapinya sekali lagi pada 3 Mac depan.

“Apapun, saya tabah terhadap sebarang keputusan mahkamah,” katanya mengakui tidak mengetahui bagaimana berdepan situasi di mahkamah.


Menurutnya, dia mengharapkan kes terbabit dapat diselesaikan semalam, namun apabila mereka mengaku tidak bersalah, perbicaraan terpaksa dijalankan.

Ketika diminta menggambarkan keakraban mereka tertera di depan mata orang ramai di mahkamah, Memey yang sentiasa tenang menyatakan dia tidak mengetahui apa yang perlu dilakukan untuk menghadapi perbicaraan, justeru memerlukan Norman menunjuk ajarnya.

“Saya sebenarnya tak tahu situasi di mahkamah, apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan. Saya perlukan panduan Norman yang banyak pengalaman. Intim atau tidak hubungan kami terpulang kepada masyarakat, tetapi bagi saya biasa saja.

“Ada sesetengah urusan memerlukan kami tampil berdua seperti hari ini (semalam). Sejak kejadian malam itu, hubungan kami semakin rapat. Ini kerana Norman banyak memberikan nasihat dan sokongan,” katanya yang memakai pakaian sedondon rona putih atas cadangan Norman.

Dia juga menganggap terlalu peribadi untuk berkongsi dengan masyarakat berkaitan sejauh mana hubungannya dengan Norman kini.

“Hubungan kami terjalin atas dasar kerja. Untuk bercerita sejauh mana hubungan kami, ia sangat peribadi dan menyentuh diri saya. Saya masih ada harga diri dan masih tahu batas pergaulan.

“Perkara seperti dibayangkan masyarakat apabila ditangkap khalwat tidak pernah terjadi. Namun, apabila ada yang membangkitkan soal bahan bukti seperti tilam dan bantal, ia membuatkan masyarakat membuat persepsi terlalu jauh.

“Saya tahu keadaan sebenar. Apapun, Norman lelaki yang baik dan buat masa ini, dia paling rapat dengan saya serta banyak memberikan nasihat,” katanya yang datang ke mahkamah secara berasingan dengan Norman.

Dia yang ditemani ibu saudaranya, Norlela Abdullah, berkata ibunya hendak datang ke mahkamah, tetapi dia tidak membenarkannya.

“Bukan saja jauh, tetapi adik sekolah. Pagi tadi (semalam) emak, ayah dan datuk menelefon untuk memberikan semangat dan sokongan,” katanya.

Memey yang berselendang hitam berada di samping Norman sepanjang berlangsungnya temubual dengan wartawan.

Usikan mengatakan mereka bagaikan pengantin baru membuatkan kedua-duanya tersenyum simpul.

Sementara itu, Norman pula berkata, dia akan melantik peguam untuknya dan Memey bagi menguruskan perbicaraan itu.

“Saya terima apa saja keputusan mahkamah nanti walaupun saya tahu apa yang sebenarnya berlaku pada malam itu,” katanya

Bagaimanapun, jelas Norman, dia sedih dengan tanggapan masyarakat terhadap hubungan mereka berdua kerana pejabatnya di Ukay Perdana adalah tempatnya mencari rezeki.

Malah, dia sendiri tidak tergamak mencemarinya dengan perkara tidak baik.

“Saya tubuhkan syarikat MDH Trading & Services pun atas nama anak, MDH mewakli Mohamed Danish Hakim, Marissa Dania Hakim dan Maria Danisha Hakim. Jadi tidak wajar saya melakukan perkara tidak baik di pejabat itu.

“MDH menjalin usaha sama dengan minyak pelincir Selenia yang beribu pejabat di Itali. MDH dilantik untuk menguruskan bahagian pengiklanan, mempromosi dan memasarkan barangan itu, jadi kami perlu berurusan dengan syarikat di sana mengikut kesesuaian masa mereka.

“Untuk berkahwin bukan masanya lagi. Saya perlu berfikir secara rasional. Saya tidak bersendirian kerana mendapat sokongan keluarga. Hari ini ibu saya datang dari Kuantan bersama abang ipar.

“Hubungan saya dengan Memey tiada yang tersurat dan tersirat. Saya banyak melakukan perkara secara spontan. Apabila kakitangan MDH yang menguruskan pentadbiran syarikat berhenti, saya terus mengambil Memey bekerja sambilan. Tetapi sekarang, saya terpaksa ‘bekukan’ Memey buat seketika,” katanya.

Mengenai status bekas isterinya, Arbaeyah Abdul Manan atau Abby Abadi, 32, dalam MDH sekarang, Norman berkata, syarikat itu mempunyai beberapa anak syarikat dan daripadanya Abby mempunyai saham.

“Buat masa sekarang perniagaan saya bergerak atas syarikat lain dan syarikat Abby tidak aktif. Saya sedia bekerjasama dengan sesiapa saja yang ingin menyumbang kepada kebaikan syarikat,” katanya.

Mengulas kenyataan Abby bahawa banyak perkara belum diselesaikan, katanya, soal kebajikan anak tidak timbul kerana dia masih menjalankan tanggungjawabnya sebagai bapa seperti biasa.

“Biar saya dan Abby saja yang tahu. Beri ruang saya selesaikan dengan cara saya dan tidak suka aibkan air muka orang disebabkan dendam atau geram. Kehidupan satu proses pembelajaran yang tidak akan berhenti selagi hayat di kandung badan,” katanya.

Sumber: Akhbar Harian Metro, Rabu, 21 Januari 2009.



0 comment(s) to... “Norman Hakim dan Memey didakwa ?”

0 comments: