Haliza Tayang 'Aset' ?

Posted Selasa, September 15, 2009 by Lelaki Herba in Labels: , ,

Setelah 13 tahun tidak membintangi sebarang filem, akhirnya pelakon yang mula dikenali menerusi filem ‘Abang 92’ ini kembali mewarnai layar perak. Kalau dulu Haliza Misbun hanya ingin dikenali sebagai pelakon yang membawakan watak-watak serius atau berat, tapi penampilannya kali ini cukup berbeza. Ini kerana filem ‘Andartu Terlampau…21 Hari Mencari Cinta’ ini bergenre komedi romantik.

Haliza beraksi sebagai wanita berusia lewat 30an bernama Nik Melati Sukma yang terpaksa mencari pasangan untuk dijadikan suami kerana mendapat tekanan daripada kedua orang tuanya. Dia hanya mempunyai masa 21 hari untuk mencari calon suami yang sesuai.

Kelmarin bertempat di Bora Asmara, Sungai Penchala, majlis pelancaran filem ini telah diadakan dan pihak media berpeluang menyaksikan sedutan filem ini buat kali pertamanya. Satu perkara yang menarik minat pihak media ialah Haliza tampil ‘daring’ dalam filem ini. Boleh dikatakan dia kerap kali menayangkan ‘asetnya’ kepada penonton. Pendek kata, penonton akan puas melihat ‘lurah dendam’ pelakon yang masih tidak berumahtangga ini.

Kesempatan bertemu dengan Haliza selepas majlis berakhir memberi peluang untuk bertanyakan perkara ini kepadanya.

“Saya tahu pasti ada yang akan bertanyakan perkara ini kepada saya. Terus-terang saya katakan yang saya tidak kisah ‘tayang’ aset yang dimiliki kerana mereka yang ingin menonton filem ini di pawagam perlu membeli tiket untuk menyaksikannya. Jadi, apa salahnya saya berikan sesuatu yang tidak biasa dilihat ketika saya berlakon drama.

“Kalau sama sahaja penampilan saya di dalam filem, macam tidak berbaloi pula harga tiket yang dibayar oleh penonton. Tidak kisahlah apa yang orang hendak kata, yang penting saya melakukan perkara yang mengikut kata hati saya. Mana mungkin saya boleh puaskan hati semua orang,” ulas Haliza tentang perkara ini.

Dalam masa yang sama Haliza turut diminta mengulas tentang watak komedi yang cuba dibawakan olehnya kali ini. Maklumlah sebelum ini Haliza memang mahu dikenali sebagai pelakon yang membawakan watak-watak berat sahaja.

“Sebelum ini memang tidak nafikan yang saya hanya mahu bawakan watak-watak berat, tetapi sekarang ini saya sudah berubah fikiran. Bagi saya, seorang pelakon yang baik boleh menjayakan apa jua watak yang diberikan. Menerusi filem ini saya ingin buktikan yang saya juga boleh bawa watak komedi. Saya tidak mahu jadi sekadar aktress, saya mahu orang nampak sesuatu yang istimewa tentang diri saya.

“Sebab itulah saya mengambil masa yang cukup lama untuk tampil semula dalam filem. Ini kerana filem terakhir saya, ‘Scoop’ tidak begitu berjaya dan ada pihak yang menyalahkan saya kerana berpendapat wajah saya tidak boleh dijual. Jadi, saya harap dengan filem terbaru ini, persepsi orang akan berubah. Filem ini adalah filem pertama di bawah syarikat saya, Big Productions Sdn Bhd. Jadi saya memang menaruh harapan yang cukup tinggi kepada filem ini,” ujar Heliza penuh semangat.

Diminta mengulas tentang kekuatan filem ini pula, Haliza menjelaskan dia merasakan pemilihan pelakon dan jalan cerita adalah kekuatan filem ini.

“Saya mengatakan pemilihan pelakon kerana setiap pelakon yang dipilih diberi watak yang dekat dengan diri sendiri. Ini membolehkan setiap pelakon nampak bersahaja dalam lakonan. Jalan cerita filem ini pula berbeza dengan filem-filem komedi yang lain kerana penonton tidak boleh meramal apa yang akan terjadi selepas setiap adegan. Boleh dikatakan ada banyak adegan yang diluar dugaan,” jelas Haliza yang membayangkan filem ini akan ada sekuelnya nanti.

Tidak percaya dengan perkahwinan
Sama ada anda sedar atau tidak, ‘Andartu Terlampau.....21 Hari Mencari Cinta’ ini seolah-olah menceritakan kisah hidup Haliza sendiri. Maklumlah sekarang ini Haliza sudah pun berusia 36 tahun dan masih hidup membujang. Pendapat ini bagaimanapun disangkal oleh Haliza.

“Dalam dunia realiti, saya bukan seperti Nik Melati Sukma. Saya tidak pernah berasa tertekan kerana masih tidak berkahwin sehingga ke hari ini. Memang saya sudah berumur 36 tahun tetapi saya tidak memandangkan isu ini sebagai masalah besar. Saya ada hidup saya sendiri dan anda perlu ingat bukan semua individu yang berkahwin menjalani kehidupan suami-isteri dalam suasana bahagia. Kalau tidak masakan ada yang bercerai-berai.

“Kalau boleh saya mahukan lelaki yang boleh memberikan saya kebebasan selepas saya berkahwin dengannya. Ini kerana saya seorang yang ‘independent’. Saya memang tidak boleh orang lain mengatur atau menyuruh itu dan ini dalam menjalani hidup seharian.

“Terus-terang saya katakan yang saya sebenarnya tidak percaya dengan institusi perkahwinan. Tetapi sebagai seorang muslim saya tidak akan menolak jodoh yang datang sekiranya saya bertemu dengan seorang lelaki yang betul-betul baik dan menyayangi diri saya. Buat masa ini memang saya ada bertemu dengan seseorang, Tetapi saya hanya anggap dia sebagai kawan sahaja,” jelas Haliza tanpa berselindung.

Sambut Raya sederhana
“Seperti kebiasaan, tahun ini saya akan menyambut Raya secara sederhana. Baju raya pun saya tidak beli atau tempah. Kalau nak tahu, sudah hampir enam tahun saya tidak buat baju kurung untuk raya. Saya akan pakai apa yang ada sahaja. Tahun ini saya hanya beraya di rumah keluarga di Pantai Hillpark, Kuala Lumpur.

Sebelum mengakhiri perbualan, Haliza sempat bercerita yang dia sangat sukakan kuih raya yang lama-lama. Antara kuih yang digemarinya ialah Kuih Samperit dan Kuih Siput.

  • Sumber: Gua.com.my



  • CETAK Artikel ini ...


  • 0 comment(s) to... “Haliza Tayang 'Aset' ?”

    0 comments: