Nasha Aziz VS Abdul Aziz

Posted Sabtu, Oktober 10, 2009 by Lelaki Herba in Labels: , ,



KUALA LUMPUR: Bapa kepada aktres dan model Nasha Aziz hari ini memohon Mahkamah Tinggi di sini hari ini untuk membuat penghakiman berhubung saman fitnahnya terhadap anaknya perempuannya selepas Nasha dan peguamnya tidak hadir hari ini.

Peguam bela Abdul Aziz Mohd Ali, M Visvanathan membuat permohonan itu berdasarkan bahawa Nasha didapati tidak berminat mempertahankan dirinya dalam saman itu.

Visvanathan berkata, semasa pengurusan kes pertama pada Maxc 2009, peguam belanya Rashid Mokhtar dari Rashid Mokhtar & Co hadir dan bersetuju dengan tarikh hari ini yang ditetapkan untuk mendengar keterangan saksi.

Hakim Datuk Abdul Wahab Patail kemudian meminta peguam bela untuk mengemukakan penghujahan bertulis esok dan menetapkan Jumaat untuk keputusan berhubung permohonan itu.

Abdul Aziz, 61, seorang guru silat, yang hadir, mengemukakan saman terhadap anak perempuannya Nasha, yang nama sebenarnya Noraishah Abdul Aziz, berhubung artikel dalam akhbar Mingguan Malaysia yang mendakwa bahawa Abdul Aziz bukan bapa kandungnya.

Abdul Aziz, dalam pernyataan tuntutannya, berkata beliau adalah bapa kandung Nasha dan mendakwa bahawa perkataan fitnah di dalam artikel itu bertajuk “Jangan tanya hal peribadi”, dalam keluaran akhbar bertarikh 24 November, 2004 telah menyebabkan perasaan beliau terseksa, memalukan dan mencemarkan maruahnya.
Beliau memohon ganti rugi, faedah, kos dan faedah lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah dengan mendakwa artikel itu boleh difahamkan sebagai bermaksud yang beliau sudah meninggal dunia.

Nasha, dalam pernyataan pembelaannya menjelaskan bahawa perkataan “bapa” dalam temu bual dengan akhbar itu adalah merujuk kepada bapa saudara yang membesarkannya.

Pelakon itu tidak menafikan bahawa Abdul Aziz ialah bapa kandungnya tetapi beliau menganggap bapa saudaranya sebagai bapa dalam hidupnya.

Pada permulaannya, Hakim Abdul Wahab menolak permohonan Visvanathan bagi menangguhkan prosiding itu sementara menunggu penyelesaian rayuan terhadap pencetak dan penerbit Utusan Melayu dan wartawan Tengku Khalidah Tengku Bidin yang dikeluarkan sebagai defendan dalam kes saman itu.
Pada 2 Mac 2009, Pesuruhjaya Kehakiman Datin Zabariah Yusof menolak dengan kos writ saman selepas membenarkan permohonan mereka untuk dikeluarkan sebagai defendan.

Selepas penangguhan, Abdul Wahab menyoal sama ada kenyataan yang dibuat Nasha adalah fitnah, Visvanathan berkata perkataan di dalam artikel itu sama seperti Abdul Aziz telah mati dan bukan bapa sebenar Nasha.

Katanya, artikel itu telah menimbulkan huru hara dalam keluarga dan telah menjatuhkan reputasi Abdul Aziz sebagai guru silat apabila orang menggelarnya penipu.

Katanya, Abdul Aziz juga menerima satu panggilan bahawa beliau ialah seorang penipu kerana beliau bukan bapa kandung Nasha.

Hakim Abdul Wahab berkata, artikel itu tidak perlu dibaca baris demi baris tetapi perlu dibaca keseluruhan perenggan dan membuat kesimpulan bahawa kenyataan itu tidak merujuk kepada Abdul Aziz (plaintif) tetapi kepada bapa saudara Nasha, Allahyarham Abdul Aziz Hathim. – Bernama


  • CETAK Artikel ini ...


  • 0 comment(s) to... “Nasha Aziz VS Abdul Aziz”

    0 comments: