Scha Al-Yahya dengan Fahrin Ahmad sudah putus ?

Posted Ahad, Oktober 04, 2009 by Lelaki Herba in Labels: , ,



Tiada lagi lagu mesra, tiada lagi dansa gembira. Yang tinggal hanya cebisan memori indah hampir setahun menyulam bait-bait cinta.

Susulan perkhabaran mengejutkan itu, timbul pula persoalan adakah mereka akan meneruskan tugas memacu kehangatan pentas Sehati Berdansa musim ketiga yang bakal menggegarkan Astro Ria bermula 24 Oktober ini dan mampukah mereka mencipta keserasian andai kasih tiada lagi di hati?

Ketika perkara ini diajukan kepada empunya badan, Scha atau nama sebenarnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir melepaskan keluhan kecil disusuli bicara yang tenang.

“Berat untuk saya ulas perkara ini kerana banyak hati perlu dijaga. Namun sampai bila perlu mengelak kerana lambat-laun orang akan tahu juga.

“Bagi menjawab soalan tadi, saya dan Fahrin masih bersama untuk Sehati Berdansa, namun dalam hubungan sebenar tiada apa-apa lagi antara kami. Senang cakap, kami sudah putus.

“Sepanjang proses mengenali hati budi, kami berusaha mencari keserasian. Ada masanya berjalan lancar dan ada ketikanya hubungan kami bergoncang.

“Selepas mendapati hubungan ini tidak boleh diteruskan, kami mengambil keputusan berpisah secara baik,” katanya berterus-terang.

Menyingkap punca berakhirnya hubungan itu, Scha menjelaskan, mungkin tiada keserasian dan perbezaan latar belakang menjadi faktor utama.

“Ada jurang antara kami yang menyebabkan ketidaksefahaman dalam sesuatu perkara, selebihnya saya tidak mahu komen panjang kerana ia terlalu peribadi.

“Saya tidak mahu panjangkan cerita, kalaupun marah sekejap saja. Lambat-laun perasaan itu akan reda dengan sendirinya dan kembali seperti biasa.

“Saya reda dengan perpisahan ini dan berharap kami masih boleh berkawan. Apa yang berlaku sebelum ini biarlah berlalu, tiada dendam atau marah di hati,” kata bintang yang kian bersinar ini.

Tegas pelakon utama Antoo Fighter ini, perpisahan itu tidak akan menjejaskan fokusnya terhadap Sehati Berdansa, malah sebagai pengacara, dia perlu bersikap profesional dengan tidak mencampur adukkan soal peribadi dan kerjaya.

Memandangkan Sehati Berdansa adalah program terbesar kendaliannya, Scha berjanji akan memberi persembahan terbaik demi memastikan perjalanannya lancar, sekali gus tidak mengecewakan Astro yang meletakkan sepenuh kepercayaan kepadanya sebagai pasangan baru Fahrin.

“Bohonglah kalau saya kata tak rasa janggal apabila berdiri di sebelah Fahrin, tetapi saya akan melihat keadaan itu daripada sudut berbeza dan sentiasa berfikiran positif.

“Sebagai pengantara, menjadi tanggungjawab saya dan Fahrin untuk memastikan pentas Sehati Berdansa seronok ditonton dan tidak dicacatkan dengan sentimen peribadi,” katanya.

Memandangkan pengalaman mengacara masih cetek, persiapan rapi dilakukan termasuk menonton ulangan program Sehati Berdansa bagi memahami konsep dan cara kendalian selain mengkaji persembahan pengacara kegemarannya.

“Saya suka persembahan Marion Counter dan Aznil Nawawi. Cara mereka mengendalikan pentas sangat bagus dan nampak cukup bersahaja. Paling menarik perhatian saya, mereka jadi diri sendiri di atas pentas dan itu juga yang akan saya praktikkan dalam Sehati Berdansa.

“Saya turut memperkemaskan teknik bercakap dan bahasa badan kerana tidak mahu nampak kaku di atas pentas. Biarpun ada konsep perlu diketengahkan pada setiap minggu, ada kelonggaran di mana saya akan jadikan program ini lebih santai dan ceria dengan gurau senda. Harapnya penonton terhibur dengan cara saya,” katanya.

Selain rancak melakukan persiapan Sehati Berdansa, Scha kini terikat dengan penggambaran siri Awan Dania musim kedua arahan Chunk Azizi yang dijangka tamat penggambarannya Disember depan.

Sambil tersenyum, gadis kelahiran Sungai Petani ini menjelaskan dia senang hati dengan maklum balas diberi peminat setia drama yang mengisahkan kehidupan Dania, gadis lasak yang cuba menyesuaikan diri dengan kerjaya pramugari.

“Alhamdulillah berdasarkan SMS yang saya terima, ramai suka dengan jalan cerita musim terbaru ini. Kali ini Dania lebih feminin penampilannya tetapi sikap kasarnya masih dikekalkan, termasuk suka ketawa besar.

“Fokus kali ini lebih diberi kepada keluarga dan hubungan Dania dan Benjy (lakonan Jehan Miskin), jejaka berada yang berusaha keras memenangi hati Dania.

“Musim ini ada 26 episod dan kami baru rakam tiga episod. Selain Jehan ada beberapa wajah baru, termasuk Fizo Omar dan Aida Aris,” kata bekas hos Sehati Sejiwa ini.

Kerap menghidupkan watak agresif membuatkan Scha berharap diberi peluang mencuba sesuatu yang berbeza.

Namun dia akur, sebagai pendatang baru dia perlu bersabar kerana apa yang tersaji depan mata mungkin terbaik buat masa ini.

“Barangkali pengarah dan penulis skrip nampak saya lebih sesuai dengan karektor sebegini dan tidak dapat membayangkan bagaimana jadinya saya jika hidupkan watak gadis lembut atau penuh emosi.

“Lagipun ketika awal pembabitan, saya pilih watak yang dekat dengan diri supaya tidak nampak keras. Mungkin mereka terpengaruh dengan lakonan saya sebelum ini biarpun saya bersedia mencuba watak lebih berat.

“Jika diberi peluang, saya teringin benar bawa watak psiko sepertimana dilakonkan Nasha Aziz dalam filem Trauma,” katanya yang berdebar menanti reaksi penonton terhadap lakonannya dalam filem Papadom dan Evolusi KL Drift II yang bakal menggegarkan pawagam hujung tahun ini.


  • Read More ...




  • CETAK Artikel ini ...


  • 2 comment(s) to... “Scha Al-Yahya dengan Fahrin Ahmad sudah putus ?”

    2 comments:

    IMCurtain berkata...

    Salam semua,

    Kami ingin menjemput anda menyertai komuniti blogger terkemuka tanahair. Ianya mempunyai fungsi yang sama seperti Innit (Nuffnang) dan Digg. Pendaftaran PERCUMA!

    Sertai sekarang: Blogger Malaysia [Blogger's Meeting Point]

    Malaysia Boleh!



    TAUFIK SM™ berkata...

    thanks ...